Secara lazimnya, setiap graduan jurusan undang-undang di universiti yang telah menamatkan tempoh 9 bulan sebagai Pelatih Dalam Kamar di mana-mana firma guaman dan ingin menyambung hasrat menjadi seorang peguam, bakal melalui pengalaman temuduga sekiranya memilih profesion peguam sebagai kerjaya. Oleh yang demikian, terdapat 10 soalan temuduga peguam yang ingin dikongsikan kepada bakal-bakal peguam yang bakal menghadiri sesi temuduga tersebut. 

 

Soalan utama yang sering diajukan oleh penemuduga adalah APAKAH YANG MEMOTIVASIKAN MINAT ANDA UNTUK MENJALANKAN PROFESION PEGUAM? Contoh jawapan yang boleh diberikan adalah anda sentiasa tertarik dengan peranan signifikan undang-undang dalam memelihara keadilan sosial. Keinginan anda untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan hak individu mendorong anda untuk mengejar karier dalam bidang undang-undang. Selain itu, anda tertarik dengan kompleksiti undang-undang dan kesannya dalam kehidupan harian. Kesedaran anda terhadap kepentingan undang-undang dalam menyelesaikan perselisihan dan isu-isu masyarakat mendorong anda untuk menyertai profesion peguam.

 

Soalan kedua adalah BAGAIMANA ANDA MERANCANG UNTUK MENANGANI PERTIKAIAN PANDANGAN DENGAN PELANGGAN ATAU PIHAK LAIN DALAM KES ANDA? Cadangan jawapan adalah anda akan berusaha untuk berkomunikasi secara terperinci dengan pelanggan atau pihak-pihak berkepentingan untuk memahami kebimbangan mereka sepenuhnya. Anda akan mencari penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua belah pihak tanpa menjejaskan prinsip dan etika profesional anda. 

 

Penemuduga juga gemar bertanya BAGAIMANA ANDA MENGENDALIKAN TEKANAN UNTUK MENYELESAIKAN KES DALAM TEMPOH MASA YANG TELAH DITETAPKAN? Jawapan yang disarankan adalah anda akan mengatur jadual kerja yang cekap untuk memastikan setiap langkah dalam proses undang-undang dijalankan dengan teliti. Tambahan pula, anda akan mengenal pasti aspek-aspek yang kritikal untuk memberi tumpuan lebih kepada perkara tersebut.

 

Seterusnya cadangan  jawapan bagi soalan APAKAH PENDEKATAN ANDA DALAM BERKOMUNIKASI DENGAN KLIEN YANG MUNGKIN TIDAK MEMAHAMI ISTILAH UNDANG-UNDANG adalah anda akan menggunakan bahasa yang mudah difahami untuk menerangkan konsep-konsep undang-undang kepada klien. Anda juga akan mengelakkan terminologi teknikal yang rumit dan cuba memberi contoh yang mudah untuk membantu mereka memahami dengan lebih baik.

 

Bagi soalan BAGAIMANA ANDA MENYELESAIKAN KONFLIK ANTARA PELANGGAN YANG MEMPUNYAI KEPENTINGAN YANG BERTENTANGAN? Adalah lebih baik sekiranya anda menjawab bahawa anda akan berusaha untuk mendengar pandangan kedua-dua belah pihak secara adil dan mempertimbangkan setiap kepentingan yang dinyatakan. Anda akan mencari penyelesaian yang mungkin memuaskan kedua-dua pihak dengan mengambil kira undang-undang serta etika profesional.

 

Soalan keenam yang popular adalah BAGAIMANA ANDA MEMASTIKAN INTEGRITI DAN KEPERCAYAAN DALAM KERJA SEBAGAI SEORANG PEGUAM? Jawapan yang baik adalah anda akan memastikan bahawa anda berpegang kepada undang-undang dan etika profesional dalam setiap langkah kerja anda. Anda juga akan menghormati kerahsiaan dan kepercayaan klien serta mengekalkan tingkah laku yang etika sepanjang proses kes.

 

Di samping itu, terdapat juga soalan BAGAIMANA CARA ANDA MENGENDALIKAN BEBAN KERJA YANG BESAR DAN KES PELBAGAI SECARA SERENTAK? Anda haruslah tenang menjawab bahawa anda akan merancang jadual kerja yang teliti dan memberi keutamaan kepada kes yang memerlukan penyelesaian segera. Anda juga akan mengalokasikan masa untuk setiap kes dengan cermat serta berkomunikasi secara jujur dengan klien mengenai jadual kerja.

 

Tambahan pula, mengenai soalan tentang BAGAIMANA ANDA MENJALANKAN PENYELIDIKAN UNTUK MENYEDIAKAN KES ANDA DI MAHKAMAH? Jawapan yang sesuai adalah anda akan mengumpul bukti yang relevan dan menyiasat setiap fakta dengan teliti. Anda juga akan berkomunikasi dengan pakar atau sumber yang relevan untuk memastikan kes anda disokong dengan bukti kukuh sebelum dibentangkan di mahkamah. Selain itu, anda akan menyelidik dengan teliti undang-undang dan kajian kes terdahulu yang berkaitan untuk menyediakan kes yang kukuh.

 

Bagi soalan yang berkaitan BAGAIMANA ANDA AKAN MENYAMPAIKAN MAKLUMAT UNDANG-UNDANG KEPADA KLIEN YANG MUNGKIN TIDAK BERPENGALAMAN DALAM BIDANG UNDANG-UNDANG? Anda disarankan menjawab bahawa anda akan menerangkan secara terperinci, tetapi mudah difahami, tentang aspek undang-undang yang berkaitan dengan kes klien. Anda akan memberikan contoh-contoh yang relevan untuk membantu mereka memahami isu-isu undang-undang yang berkaitan dengan kes mereka.

 

Akhir sekali, seringkali ditanya oleh penemuduga tentang APA YANG MEMBEZAKAN ANDA DARIPADA PEGUAM LAIN DALAM BIDANG YANG SAMA? Anda perlu menjawab dengan yakin bahawa kelebihan anda adalah kebolehan untuk berkomunikasi dengan pelbagai individu dari latar belakang yang berbeza. Anda juga memiliki pemahaman yang mendalam dalam bidang spesifik tertentu dalam undang-undang yang membolehkan anda memberikan pandangan yang unik dan kreatif terhadap kes.

 

Kesimpulannya, setiap orang adalah unik dan memiliki perwatakan serta cara yang tersendiri dalam menjawab soalan temuduga. Kriteria yang sangat penting ketika anda menjawab soalan adakah keyakinan yang tinggi dan teguh pendirian. Walau apa jua keputusan temuduga yang diterima, anda perlu berlapang dada dan yakin dengan kemampuan diri. Semoga berjaya!