Ditulis oleh Ms Liana
Pembentangan belanjawan negara pada setiap tahun sudah pasti menjadi penantian dan harapan bagi rata-rata bakal pemilik hartanah. Mana tidaknya, di saat pembentangan belanjawan tersebut Menteri Kewangan bagi pihak kerajaan lazimnya akan mengumumkan manfaat yang bakal pemilik hartanah miliki hasil daripada pembelian atau pindahmilik hartanah dan ia disusuli dengan warta kerajaan yang dikeluarkan secara rasmi bagi memberi efek kepada pembentangan belanjawan tersebut.
Jadi apakah salah satu manfaat yang dimiliki oleh bakal pemilik hartanah di Malaysia yang diumumkan oleh kerajaan pada setiap kali pembentangan belanjawan tahunan? Ya, semestinya pengecualian dan peremitan duti setem.
Antara pengecualian dan peremitan duti setem yang diumumkan kerajaan sebelum ini dan masih memberi manfaat kepada bakal pemilik hartanah adalah seperti berikut:-
1. Pembelian Harta Kediaman Berharga Tidak Melebihi RM300,000-00 (Pengecualian 100%)
i- Terpakai untuk kedua-dua Surat Cara Pindahmilik (P.U. (A) 377/2018) & Perjanjian Pinjaman (P.U.(A) 321/2018)
ii- Berkuatkuasa pada atau selepas 01/01/2019 tetapi tidak lewat daripada 31/12/2020
iii- Pengecualian penuh duti setem akan diberikan kepada bakal pemilik hartanah tanpa perlu membuat pembayaran duti setem tersebut ke atas suratcara pindahmilik dan perjanjian pinjaman
2. Pembelian Harta Kediaman Berharga Melebihi RM300,000-00 Tetapi Tidak Melebihi RM500,000-00 (Peremitan)
A. Surat Cara Pindahmilik
i- Terpakai untuk Surat Cara Pindahmilik (P.U. (A) 49/2019)
ii- Berkuatkuasa pada atau selepas 01/07/2019 tetapi tidak lewat daripada 31/12/2020
iii- Peremitan duti setem sebanyak RM5,000-00 ke atas duti setem penuh akan diberikan kepada bakal pemilik hartanah
B. Perjanjian Pinjaman
i- Terpakai untuk Surat Cara Pinjaman (P.U.(A) 320/2018)
ii- Berkuatkuasa pada atau selepas 01/07/2019 tetapi tidak lewat daripada 31/12/2020
iii- Peremitan duti setem sebanyak RM1,500-00 ke atas duti setem penuh akan diberikan kepada bakal pemilik hartanah
Syarat-syarat lain yang sama bagi Item (1) dan (2) adalah seperti berikut:-
i- Bakal pemilik hartanah tidak pernah memiliki apa-apa harta kediaman termasuk yang diperoleh secara perwarisan atau pemberian yang dipegang sama ada secara individu atau bersesama
ii- Nilai harta kediaman yang ingin dimiliki oleh bakal pemilik mengikut nilai pasaran
iii- Harta kediaman tersebut termasuk kondominium, pangsapuri atau rumah pangsa yang dibeli atau diperoleh semata-mata untuk digunakan sebagai rumah kediaman dan harta kediaman yang tersebut tidak termasuk dalam kategori small office home office (SOHO), small office flexible office (SOFO), small office virtual office (SOVO) dan service apartment
iv- Bakal pemilik hartanah hendaklah seorang individu atau pemilik bersama yang berwarganegara Malaysia
3. Pindahmilik Hartanah Antara Suami Dan Isteri (Pengecualian 100%)
i- Terpakai untuk Surat Cara Pindahmilik (P.U.(A) 420/2007)
ii- Berkuatkuasa pada 08/09/2007 sehingga kini
iii- Pengecualian penuh duti setem akan diberikan kepada bakal pemilik hartanah yang memperoleh hartanah tersebut hasil daripada pindahmilik secara sukarela atau balasan kasih sayang daripada pasangan masing-masing iaitu suami atau isteri
4. Pindahmilik Hartanah Antara Ibu Bapa Dan Anak (Peremitan 50%)
i- Terpakai untuk Surat Cara Pindahmilik (P.U.(A) 369/2019)
ii- Berkuatkuasa pada atau selepas 01/01/2020 sehingga kini
iii- Penerima atau bakal pemilik hartanah adalah seorang warganegara Malaysia
iv- Peremitan duti setem sebanyak 50% daripada duti setem penuh akan diberikan kepada bakal pemilik hartanah yang memperoleh hartanah tersebut hasil daripada pindahmilik secara sukarela atau balasan kasih sayang antara ibu bapa dan anak
v- Anak didefinisikan sebagai anak yang sah taraf, anak tiri atau anak yang diambil menjadi anak angkat mengikut mana-mana undang-undang
Kini, kerajaan terus menggalakkan pemilikan rumah dengan melaksanakan inisiatif pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000-00 melalui pembentangan belanjawan 2021 di parlimen pada 06/11/2020 baru-baru ini.
Pengecualian penuh duti setem tersebut adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 01/01/2021 sehingga 31/12/2025.
Kerajaan juga melaksana inisiatif bagi pengecualian penuh duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai.Namun demikian, tidak dinyatakan secara terperinci sama ada ia terpakai untuk pasaran hartanah sekunder (subsale). Diharap kerajaan akan memperluaskan lagi insentif kepada pasaran hartanah sekunder dan bukan sahaja mengutamakan pembeli rumah pasaran utama. Apapun, sejajar dengan pembentangan belanjawan tersebut, pihak kerajaan pasti akan mengeluarkan warta kerajaan secara rasmi untuk menjelaskan isu dan persoalan berkenaan pengecualian penuh duti setem bagi tahun 2021 dan tahun-tahun berikutnya.
Semoga perkongsian ringkas ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada bakal-bakal pemilik hartanah di luar sana untuk memiliki hartanah pertama idaman semua.