Surat Kuasa Wakil adalah dokumen atau instrumen perlantikan wakil kuasa oleh pemberi kuasa kepada penerima kuasa bagi sesuatu tujuan tertentu seperti untuk menandatangani borang pindahmilik (14A) di mana penerima kuasa menandatangani sebagai wakil kepada pemberi kuasa.

Secara ringkasnya, surat kuasa wakil adalah satu dokumen di mana pemilik hartanah sebagai Pemberi Kuasa memberi kuasa kepada individu, agensi, syarikat sebagai Penerima Kuasa bagi mewakili pemilik hartanah termasuklah tetapi tidak terhad untuk menandatangani semua dokumen bagi pihak pemilik hartanah untuk hartanah tersebut.

Surat Kuasa Wakil juga kebiasaannya ditandatangani antara peminjam dan pihak Bank yang memberi pinjaman pembiayaan perumahan dan sekiranya peminjam gagal menjelaskan bayaran bulanan kepada pihak Bank dalam tempoh tertentu, Surat Kuasa Wakil akan digunakan oleh pihak Bank sebagai kuasa untuk melelong serta menandatangani dokumen pindah milik kepada pembeli baru.

Walaubagaimanapun, menurut seksyen 433F Kanun Tanah Negara 1965, pelaksanaan oleh bukan warganegara atau syarikat asing di bawah surat kuasa wakil adalah tak sah. Oleh yang demikian, sekiranya dalam satu Surat Kuasa Wakil itu memberi kuasa kepada bukan warganegara atau syarikat asing maka Surat Kuasa Wakil tersebut adalah tidak sah di bawah peruntukan seksyen 433F Kanun Tanah Negara ini.

Tiada format khas bagi Surat Kuasa Wakil. Surat Kuasa Wakil hendaklah ditandatangani oleh Pemberi Kuasa dan disaksikan oleh Peguam.

Pemberian kuasa di dalam Surat Kuasa Wakil boleh dibuat secara am atau secara khusus dengan kuasa yang diberikan adalah sama ada kuasa boleh batal atau kuasa tidak boleh batal mengikut keperluan/keadaan masing-masing.

Bagi Surat Kuasa Wakil tak boleh batal (irrevocable Power of Attorney), ianya merujuk kepada kuasa yang tidak terhad diberikan oleh Pemberi Kuasa kepada Penerima Kuasa untuk tempoh masa yang tidak terhad iaitu selama-lamanya. Kuasa yang diberikan tersebut dianggap akan tetap berkekalan selama-lamanya melainkan ianya ditarik balik oleh Pemberi Kuasa dengan persetujuan Penerima Kuasa atau kuasa tersebut diserahkan semula kepada Pemberi Kuasa atas kerelaannya atau sekiranya salah seorang daripadanya meninggal dunia, atau hilang ingatan atau disahkan bankrup.

Bagi Surat Kuasa Wakil boleh batal (revocable Power of Attorney) kuasa yang diberikan oleh Pemberi Kuasa kepada Penerima Kuasa adalah terhad dan boleh dibatalkan oleh Pemberi Kuasa pada bila-bila masa walaupun tanpa persetujuan daripada Penerima Kuasa

Surat Kuasa Wakil yang telah dibuat oleh Pemberi Kuasa hendaklah didaftarkan di Mahkamah Tinggi. Selepas pendaftaran Surat Kuasa Wakil tersebut di Mahkamah Tinggi, Surat Kuasa Wakil tersebut hendaklah didaftarkan di Pejabat Tanah di mana terletaknya hartanah tersebut.