Harta pusaka adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta alih dan tidak alih dan segala hak yang menjadi miliknya semasa hidup dan hak tersebut akan berpindah/diwarisi dan menjadi milik waris selepas kematiannya.
Seseorang yang meninggal dunia/mati, pewaris kepada simati wajib menguruskan harta peninggalan. Urusan harta pusaka sewajarnya disegerakan setelah kematian ahli keluarga namun atas beberapa alasan yang tidak berasas dari segelintir pihak menjadikan proses tersebut rumit untuk dilaksanakan. Mengapakah harta pusaka perlu dibuat dengan segera? Pertama adalah untuk mengelakkan bilangan waris yang ramai akibat kematian berlapis, kedua, memudahkan proses untuk pembahagian harta pusaka, ketiga, membolehkan harta pusaka dimanfaatkan dengan segera bagi faedah kepada waris. Keempat, mengelakkan berlakunya tanah terbiar, dan yang kelima, risiko kehilangan dokumen penting yang akan merumitkan urusan. Seterusnya mengelakkan wang simpanan dalam mana-mana institusi kewangan daripada dipindahkan kepada pendaftar wang yang tidak dituntut.
Oleh yang demikian, semua waris-waris yang layak/berhak perlu tahu Apakah yang perlu dilakukan oleh waris-waris yang berhak /layak terhadap harta pusaka Simati yang meninggal dunia?
Pertamanya, waris-waris tersebut hendaklah melangsaikan segala urusan-urusan seperti berikut iaitu :-
1. Perbelanjaan pengkebumian/pengurusan jenazah
2. Pelaksanaan hutang Simati
3. Pelaksanaan Wasiat
4. Harta Sepencarian
5. Pembahagian Harta Pusaka kepada Waris
APAKAH ASPEK PENTING DALAM PROSES PENGURUSAN HARTA PUSAKA YANG PERLU WARIS-WARIS LAKUKAN?
Pertama : AHLI WARIS- menentukan waris-waris yang benar-benar berhak / layak mewarisi harta pusaka dan memastikan tiada waris yang tercicir
Kedua: JENIS ASET – Menyenaraikan kesemua harta sah simati yang terdiri daripada harta alih & harta tidak alih.
Ketiga : CARA PEMBAHAGIAN – Ahli waris perlu menentukan cara pembahagian sama ada muafakat atau faraid atau takharruj (melepaskan hak).
Keempat: DI MANAKAH PERLU MEMBUAT PERMOHONAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA? @ UNTUK MENDAPATKAN PERINTAH HARTA PUSAKA?
1. Bagi harta peninggalan Simati seperti tanah sahaja@tanah dengan rumah@ tanah, rumah, dan harta alih (brg kemas, simpanan bank, kereta dan lain-lain) yang bernilai RM2 JUTA KE BAWAH tanpa wasiat hendaklah dimohon di – UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA NEGERI-NEGERI (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG)) di mana terletaknya harta tak alih simati atau jika harta tak alih di banyak tempat, hendaklah dikemukakan di satu tempat sahaja di Unit Pembahagian Pusaka salah satu harta tidak alih simati.
2. Bagi harta peninggalan Simati seperti harta alih dan harta tidak alih bernilai RM 2 JUTA KE ATAS @ harta tak alih sahaja bernilai RM2 JUTA KE ATAS mempunyai wasiat @ tanpa wasiat @ sebahagian wasiat hendaklah di mohon di MAHKAMAH TINGGI SIVIL
Kelima: Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan dalam permohonan adalah – sijil mati, ic/surat beranak waris-waris yang layak dan dokumen2 harta pusaka Simati.
Setelah waris-waris mendapat perintah pembahagian/surat kuasa tadbir hendaklah membawa perintah/suratkuasa tadbir tersebut untuk didaftarkan /turunmilik di pejabat tanah, atau di Institusi Kewangan, JPJ, atau di tempat harta pusaka tersebut perlu dituntut/ditukar nama.
APAKAH PENTADBIR – orang yang diberi surat kuasa tadbir oleh mahkamah/pejabat pusaka (Borang F). Perlantikan pentadbir dilakukan melalui persetujuan bertulis semua waris faraid yang berhak. Syarat utama bagi proses mentadbir harta pusaka adalah dengan PERLANTIKAN PENTADBIR sebagai pengurus harta pusaka.
Fungsi Pentadbir adalah seperti berikut iaitu mengumpul harta, membayar hutang-hutang Simati, mentadbir harta tersebut sahaja, memastikan hak dan kepentingan semua waris (terutama waris di bawah umur @ OKU) terhadap harta pusaka dilindungi dan diserahkan seperti dalam perintah.
Anda semua boleh bertanyakan kepada yang arif dan tahu dengan lebih mendalam mengenai harta pusaka ini jika terdapat kekeliruan ataupun isu yang timbul ataupun boleh melantik mana-mana peguam untuk mudahkan urusan permohonan.