Pada umumnya, isu Direct Transfer dan Double Transfer akan timbul apabila Geran/Strata telah dikeluarkan oleh pihak pejabat Tanah atas permohonan dari pihak Pemaju dan Pemilik Asal ingin menjual hartanah kepada Pembeli baru. Apabila Geran/Strata telah dikeluarkan, pihak Pemilik Asal hendaklah membuat penukaran nama dari pihak Pemaju kepada nama Pemilik Asal atau Pembeli Baru.

Double Transfer (Pemindahan Berganda) ini adalah satu proses penukaran nama daripada Pemaju kepada Pemilik Asal dan seterusnya akan berlaku proses pindahmilik daripada Pemilik Asal kepada pembeli Baru. Kedua-dua proses ini akan dilakukan secara serentak di pejabat tanah semasa membuat Pendaftaran. Pada kebiasaannya, proses ini akan melibatkan hartanah yang tidak mempunyai apa-apa sekatan kepentingan oleh Pihak berkuasa Negeri.

Masing-masing Pemilik Asal dan juga Pembeli baru perlu menanggung kos bayaran setem duti dan pendaftaran di Pejabat Tanah.
Direct Transfer (Pemindahan Terus) adalah Pemindahan nama daripada pihak Pemaju terus kepada Pembeli baru. Pihak Pembeli Baru perlu menanggung segala kos Bayaran duti setem dan juga pendaftaran pindahmilik di Pejabat Tanah. Namun begitu, bagi sesetengah Pemaju, kos “administrative” akan dikenakan bergantung kepada pihak Pemaju kepada Pemilik Asal untuk menanggung kos yang telah dibuat oleh Pihak Pemaju bagi membolehkan proses Direct Transfer dilakukan.

Proses sama ada ia melibatkan Direct Transfer atau Double Transfer akan ditentukan oleh Pihak Pemaju dan Pihak Pemaju akan menandatangani kesemua dokumen-dokumen yang diperlukan bagi kedua-kedua proses tersebut. Sekadar itu sahaja perkongsian kali ini semoga ia bermanfaat untuk semua.