JIKA SUAMI TELAH MENINGGAL DUNIA, APAKAH YANG HARUS DILAKUKAN OLEH ISTERI TERHADAP HARTA PUSAKA SUAMINYA?
Saya telah terpanggil untuk membuat artikel ini kerana terdapat banyak panggilan dan pertanyaan mengenai isu urusan harta pusaka. Minggu lepas kita telah digemparkan dengan isu harta pusaka rentetan daripada salah seorang selebriti kita yang telah meninggal dunia. Terdapat isu yang timbul di sini di mana terdapat persoalan BOLEHKAH ISTERI MENGAMBIL HARTA SUAMI SEDANGKAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA BELUM DIBUAT/DIBAHAGIKAN?
Jawapan kepada isu ini adalah isteri dibolehkan mengambil harta suami tersebut tetapi bukan berlebih-lebihan cukup sekadar untuk menanggung keperluan makan minum dan lain-lain untuk KELANGSUNGAN HIDUP sementara menunggu Perintah Pembahagian harta pusaka dilaksanakan. Ini adalah kerana jika kita sebagai manusia secara logiknya boleh berfikir bahawa jika isteri dan anak-anak tersebut selama ini hanya bergantung sepenuhnya kepada suami semata-mata, maka isteri tersebut dibolehkan mengambil harta tersebut dan tidak menjadi suatu kesalahan untuk menampung keperluan dan kelangsungan hidup dia dan anak-anak tersebut.
Seterusnya, apakah yang perlu dilakukan oleh isteri terutamanya jika suami yang dicintai telah meninggal dunia? Anda semua perlu tahu bukan sahaja isteri tetapi semua waris-waris yang layak/berhak perlu tahu Apakah yang perlu dilakukan oleh waris-waris yang berhak /layak terhadap harta pusaka Simati yang meninggal dunia?
Pertamanya, waris-waris tersebut hendaklah melangsaikan segala urusan-urusan seperti berikut iaitu :-
1. Perbelanjaan pengkebumian/pengurusan jenazah
2. Pelaksanaan hutang Simati
3. Pelaksanaan Wasiat
4. Harta Sepencarian
5. Pembahagian Harta Pusaka kepada Waris
Selepas selesai pengurusan jenazah, hendaklah waris-waris tersebut melangsaikan hutang-hutang simati. Jika terdapat wasiat/pesanan daripada simati hendaklah waris-waris tersebut melaksanakannya.
Seterusnya jika terdapat Harta Sepencarian, isteri berhak untuk menuntut harta sepencarian tersebut di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah akan menentukan berapakah bahagian yang layak isteri dapat ke atas harta pusaka simati sebagai harta sepencarian semasa dalam tempoh perkahwinan adalah mengikut kepada sumbangan langsung dan tidak langsung pihak-pihak terhadap harta tersebut. Jika Mahkamah Syariah telah mengiktiraf sebahagian harta pusaka tersebut sebagai harta sepencarian, dan isteri tersebut layak memilikinya, maka sebahagian dari harta pusaka tersebut yang tidak diktiraf harta sepencarian dan harta-harta pusaka yang lain hendaklah kemudiannya dibahagikan kepada waris-waris yang layak.
Kami faham bahawa waris-waris selepas kematian Simati berasa sedih dan terkesan atas kehilangan orang tersayang dan untuk move on sangat lambat kerana kesedihan yang melampau, namun perlu diingat bahawa pengurusan harta pusaka Simati tidak boleh diabaikan atau dilambatkan. Ini kerana harta pusaka perlu dibuat dengan segera kerana pertama memudahkan proses urusan pembahagian harta pusaka, kedua membolehkan harta pusaka dimanfaatkan dengan segera bagi faedah semua waris, ketiga menggelakkan risiko kehilangan dokumen yang penting yang akan merumitkan urusan, keempat untuk mengelakkan bilangan waris yang ramai akibat daripada kematian berlapis dan lain-lain lagi.
Seterusnya, APAKAH ASPEK PENTING DALAM PROSES PENGURUSAN HARTA PUSAKA YANG PERLU WARIS-WARIS LAKUKAN?
Pertama : AHLI WARIS- menentukan waris-waris yang benar-benar berhak / layak mewarisi harta pusaka dan memastikan tiada waris yang tercicir
Kedua: JENIS ASET – Menyenaraikan kesemua harta sah simati yang terdiri daripada harta alih & harta tidak alih.
Ketiga : CARA PEMBAHAGIAN – Ahli waris perlu menentukan cara pembahagian sama ada muafakat atau faraid atau takharruj (melepaskan hak).
Keempat: DI MANAKAH PERLU MEMBUAT PERMOHONAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA? @ UNTUK MENDAPATKAN PERINTAH HARTA PUSAKA?
1. Bagi harta peninggalan Simati seperti tanah sahaja@tanah dengan rumah@ tanah, rumah, dan harta alih (brg kemas, simpanan bank, kereta dan lain-lain) yang bernilai RM2 JUTA KE BAWAH tanpa wasiat hendaklah dimohon di – UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA NEGERI-NEGERI (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG)).
2. Bagi harta peninggalan Simati seperti harta alih dan harta tidak alih bernilai RM 2 JUTA KE ATAS @ harta tak alih sahaja bernilai RM2 JUTA KE ATAS mempunyai wasiat @ tanpa wasiat @ sebahagian wasiat hendaklah di mohon di MAHKAMAH TINGGI SIVIL
Kelima: Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan dalam permohonan adalah – sijil mati, ic/surat beranak waris-waris yang layak dan dokumen2 harta pusaka Simati.
Anda semua boleh bertanyakan kepada yang arif dan tahu dengan lebih mendalam mengenai harta pusaka ini jika terdapat kekeliruan ataupun isu yang timbul ataupun boleh melantik mana-mana peguam untuk mudahkan urusan permohonan. Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang perlu dibincangkan mengenai isu harta pusaka ini yang perlu dijelaskan satu persatu. Antaranya adalah siapakah waris-waris yang layak mengikut faraid dan cara pembahagiaannya, bagaimanakah jika ada harta ketinggalan? Bagaimanakah jika waris-waris tidak dapat dijumpai? Bagaimanakah jika anak-anak saya semua perempuan? dan lain-lain lagi. Saya akan merungkaikan satu persatu isu-isu pada artikel akan datang.