Bagi menjawab persoalan di atas, saya akan berikan dua senario penyelesaian; bergantung kepada klausa di dalam perjanjian jual beli (SPA) dan masa dokumen pindahmilik (14A) ditandatangani.
Sekiranya penjual atau pembeli meninggal dunia selepas perjanjian jual beli ditandatangani tetapi sebelum borang 14A ditandatangani, maka urusan jual beli akan tertakluk kepada peruntukan yg dinyatakan dalam SPA itu. Sekiranya terdapat apa-apa klausa dalam SPA yang menyatakan sekiranya berlaku kematian mana-mana pihak akan menjadikan perjanjian jual beli tersebut secara automatiknya terbatal, maka urusan jual beli tersebut dianggap terbatal. Segala bayaran dan dokumen yang telah diserahkan oleh mana-mana pihak hendaklah dikembalikan kepada pihak yangg satu lagi atau warisnya melalui peguam mengikut peruntukan yg terdapat dalam SPA.
Namun sekiranya dalam SPA menyatakan kematian mana-mana pihak sebelum sempurnanya sesuatu urusan jual beli tidak akan membatalkan perjanjian jual beli dan akan mengikat waris masing-masing, maka waris simati berhak untuk meneruskan perjanjian tersebut, tertakluk kepada kebenaran syarat yang ditetapkan oleh pihak bank pembiaya.
Walau bagaimanapun, jika kematian berlaku selepas Borang Pindahmilik (14A) telah ditandatangani, maka urusan jual beli tersebut dari segi undang-undangnya masih boleh diteruskan dan pindahmilik masih boleh didaftarkan di pejabat tanah sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 292(4) Kanun Tanah Negara 1956.
Seksyen 292(4) Kanun Tanah Negara ada menyebut:
“(4) Kematian mana-mana orang untuk siapa atau bagi pihaknya apa-apa instrumen urusniaga telah dilaksanakan tidaklah menyentuh kesahan instrumen itu, dan apa-apa instrumen sedemikian bolehlah, selaras dengannya, dihadapkan untuk pendaftaran di bawah Bahagian ini seolah-olah kematian itu tidak berlaku.”
Jika simati adalah penjual, waris penjual hendaklah menfailkan permohonan pusaka dan perintah pentadbir harta bagi mengesahkan siapakah yang berhak mentadbir atau menerima wang hasil jualan hartanah tersebut. Ataupun jika simati adalah pembeli, waris perlu membuat permohonan pusaka bagi mentadbir atau menerima hartanah yang telah dibeli.
Peguam stakeholder akan memegang segala wang bayaran harga jual beli atau geran hartanah tersebut (sekiranya telah dipindahmilik kepada simati), sehinggalah satu perintah pusaka dan pentadbir harta telah diperolehi bagi mengesahkan siapakah waris-waris yang berhak menerima hasil jualan atau bertindak sebagai pentadbir kepada harta si mati.
Semoga perkongsian saya pada kali ini dapat memberikan sedikit pemahaman berkenaan perjanjian jual beli simati (penjual ataupun pembeli), perintah pusaka dan pentadbir harta bagi waris berkenaan. Semoga ianya bermanfaat kepada para pembaca, insyaAllah.