Tanggungjawab pertukaran nama Pembeli Baru ke atas bil-bil selepas urusan jual beli rumah adalah terletak kepada Pembeli. Walaubagaimanapun ada sesetengah peguam menawarkan perkhidmatan tersebut bersama dengan urusan jual beli. Namun, perkara tersebut bukanlah satu kewajipan kepada pihak peguam untuk menguruskannya.
Terdapat beberapa perkara yang kadang-kadang pihak Pembeli terlepas pandang untuk lakukan selepas urusan jual beli rumah iaitu pertukaran nama pada bil-bil seperti di bawah:-
1. CUKAI PINTU
Pihak Pembeli Baru perlu membuat pertukaran nama ke atas cukai pintu di Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran sebagai rekod pemilik baru ke atas Hartanah yang dibeli. Pihak Pembeli Baru perlu mengisi borang yang disediakan dan sertakan dokumen-dokumen yang relevan seperti salinan kad pengenalan, salinan perjanjian jualbeli, salinan geran yang telah dipindahmilik ke atas nama Pembeli Baru dan salinan bil cukai pintu terkini. Bayaran caj perkhidmatan bagi urusan tersebut akan dikenakan ke atas Pembeli Baru dan selepas itu nama Pembeli Baru akan dimasukkan sebagai pemilik baru di dalam rekod cukai pintu.
2. BIL UTILITI
Selepas selesai urusan jual beli juga, pihak Pembeli Baru perlu membuat pertukaran rekod akaun perkhidmatan utiliti seperti TNB, SYABAS dan IWK untuk rumah yang baru dibeli di pejabat pembekal perkhidmatan utiliti. Ini kerana dalam rekod pejabat pembekal perkhidmatan utiliti, ianya masih lagi atas nama pemilik asal iaitu Penjual. Terdapat dua (2) cara untuk membuat pertukaran rekod akaun tersebut:-
i- Dengan membuka akaun baru untuk bil utiliti tersebut dan membuat bayaran deposit pembukaan akaun baru. Pemilik asal atau Penjual perlu membuat pembatalan akaun lama dan sekiranya terdapat tunggakkan bil utiliti, pemilik asal hendaklah terlebih dahulu menjelaskan segala bayaran tunggakkan tersebut. Kemudian deposit untuk akaun asal tersebut akan dikembalikan kepada pemilik asal oleh syarikat pembekal perkhidmatan utiliti; atau
ii- Dengan mengekalkan akaun lama bil utiliti tersebut iaitu dengan membuat pertukaran nama pemilik sahaja. Bayaran deposit pembukaan akaun bil utiliti tersebut perlu dipulangkan terus kepada pemilik asal kerana deposit pembukaan akaun tidak akan dikembalikan oleh syarikat pembekal perkhidmatan utiliti memandangkan akaun tersebut masih aktif.
3. BIL MAINTENANCE DAN SERVIS CAJ (SEKIRANYA RUMAH STRATA)
Pembeli Baru perlu memaklumkankan kepada bahagian maintenance /JMB berkenaan pemilik baru unit Hartanah tersebut untuk direkodkan bagi memudahkan pihak pengurusan bangunan mengetahui pemilikan baru unit Hartanah tersebut dan kemudian bil maintenance serta servis caj akan diserahkan kepada pemilik baru.
Oleh yang demikian, janganlah memandang remeh berkenaan perkara di atas kerana ianya akan memberi kesan kepada pemilik asal sekiranya ada tunggakkan bil-bil di atas, pemilik asal yang akan dituntut oleh pihak-pihak di atas. Tentukanlah sama ada perlu mengupah peguam atau uruskannya sendiri. Namun sedia maklum sekiranya Pembeli Baru mengupah pihak peguam untuk menguruskan pertukaran nama ke atas bil-bil tersebut, Pembeli Baru perlu membayar kos peguam dan sebenarnya lebih jimat untuk uruskan sendiri pertukaran nama ke atas bil-bil tersebut serta hanya memerlukan sedikit masa untuk menguruskannya.