Proses Adjudikasi Dalam Conveyancing (Malaysia)
Definisi adjudikasi dalam undang-undang Malaysia berbeza mengikut skop dan lingkungan jenis bidang amalan guaman. Fokus utama kali ini adalah menjurus kepada bidang amalan guaman hartanah iaitu Conveyancing.
Proses adjudikasi dalam Conveyancing adalah suatu proses untuk memastikan surat cara yang berkenaan disetemkan dengan duti yang sewajarnya dan diterima sebagai surat cara yang telah disetemkan dengan sempurna. Surat cara yang tidak melalui proses setem yang sempurna tidak boleh dijadikan sama sekali sebagai bahan bukti di mahkamah.
Bagi menentukan amaun duti yang kena dibayar ke atas surat cara yang disempurnakan, permohonan adjudikasi perlu dibuat melalui Pemungut Duti Setem yang mana pemohon perlu mengemukakan surat cara yang hendak disetem bersama dokumen sokongan lain yang berkenaan sebagai bukti. Pemungut Duti Setem boleh menolak permohonan sehingga semua dokumen yang diperlukan dikemukakan dengan lengkap dan teratur.
Proses permohonan adjudikasi boleh dibuat di kaunter Pejabat Setem Hasil di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pejabat Satelit dan Pejabat Setem Daerah. Namun demikian, metod terkini yang diguna pakai untuk lebih cepat serta mudah, permohonan adjudikasi boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) yang boleh dilayari melalui laman sesawang https://stamps.hasil.gov.my.
Surat cara yang melalui permohonan adjudikasi secara dalam talian iaitu Sistem STAMPS ini menggunakan sijil setem sebagai kaedah penyeteman. Sijil Setem akan dijana secara elektronik sebagai bukti penyeteman dan ia perlu dikepilkan atau dilekatkan kepada mana-mana surat cara yang berkaitan bagi membolehkan ianya dianggap telah disetem dengan sempurna.
Sesuatu surat cara itu perlu disetemkan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh ianya disempurnakan dalam Malaysia atau dalam tempoh 30 hari selepas ia diterima dalam Malaysia jika ia disempurnakan di luar Malaysia. Sekiranya surat cara tersebut tidak disetemkan dalam tempoh tersebut, penalti akan dikenakan mengikut tempoh kelewatan yang ditetapkan.
Melalui proses permohonan penyeteman atau adjudikasi juga pembayar duti setem boleh dan perlu menyatakan rujukan warta atau melampirkan surat pengecualian atau peremitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan bagi mendapatkan pengecualian atau pengurangan duti setem ke suatu kadar yang diluluskan oleh Menteri Kewangan.
Sub seksyen 52(1), Akta Setem 1949 melarang penerimaan, pendaftaran atau pengiktirafan mana-mana surat cara yang tidak disetemkan dengan sempurna dan sewajarnya. Kegagalan untuk mematuhi seksyen tersebut boleh dikenakan hukuman di bawah sub seksyen 69(2), Akta Setem 1949 dengan denda yang tidak melebihi RM1,500.00.
Sudah tentu proses adjudikasi dan penyeteman sesuatu surat cara dianggap sukar bagi orang awam atau “layman”. Tidak perlu gusar kerana anda boleh melantik mana-mana Peguam atau pegawai yang bertauliah bagi mewakili anda atau syarikat dalam perkara-perkara teknikal dan prosedur kerja berkaitan pengenaan kadar duti setem tersebut ke atas sesuatu surat cara.
Semoga perkongsian di atas sedikit sebanyak memberi idea dan ilmu yang bermanfaat buat anda yang sebelum ini kurang jelas berkenaan maksud proses adjudikasi dalam conveyancing di Malaysia.