CUKAI TANAH TERTUNGGAK: APAKAH IMPLIKASINYA?

 

Cukai Tanah ataupun biasanya disebut dengan terma cukai hasil tanah oleh masyarakat setempat merupakan salah satu cukai di mana setiap pemilik tanah bertanggungjawab untuk menjelaskannya dengan pihak Pejabat Tanah. Dalam Bahasa Inggeris ianya disebut sebagai “Quit Rent”. Bagi hartanah di bawah pegangan Hakmilik Strata, ianya dipanggil sebagai “Cukai Petak”. Secara ringkasnya, apabila mendengar istilah “Quit Rent”, “Cukai Hasil Tanah”, “Cukai Tanah” dan “Cukai Petak”, iainya merujuk pada perkara yang sama. Di bawah peruntukan undang-undang di Malaysia, Cukai Tanah disebut sebagai “Sewa” di mana Seksyen 5 Kanun Tanah Negara 1995 mentafsirkan sewa sebagai; 

  1. apa-apa jumlah wang tahunan yang akan dibayar kepada Pihak Berkuasa Negeri sebagai sewa;
  2. apa-apa pembayaran tahunan lain yang akan dibayar kepada Pihak Berkuasa Negeri yang mengikut mana-mana undang-undang bertulis, hendaklah dipungut seolah-olah ia adalah sewa atau hasil tanah; dan
  3. apa-apa fee yang akan dibayar kepada pihak Berkuasa Negeri berkenaan dengan tunggakan sewa menurut kuasa kaedah-kaedah di bawah Seksyen 14.

 

Cukai Tanah hendahlah dibayar oleh pemilik tanah di pejabat Tanah atau mana-mana tempat lain yang pentadbir tanah sifatkan sebagai sesuai atau di tempat lain tertentu dalam negeri sebagaimana yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, samada secara sengaja atau tidak, terdapat juga situasi di mana pemilik tanah gagal membuat pembayaran cukai tanah dan akhirnya menyebabkan tunggakan pada pembayaran cukai tanah. 

 

Apabila terdapat tunggakan pada cukai tanah, pemilik tanah akan menerima suatu notis tuntutan tunggakan sewa iaitu Borang 6A Kanun Tanah Negara oleh Pentadbir Tanah. Pada borang tersebut dinyatakan bahawa pemilik tanah hendaklah membuat pembayaran menurut jumlah wang yang dinyatakan dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh tersebut disampaikan. Pada notis tersebut juga dinyatakan amaran sekiranya pembayaran tersebut gagal diselesaikan dalam tempoh tiga (3) bulan tersebut, tanah tersebut akan dilucuthak kepada Pihak Berkuasa Negeri. Selain dari pemilik tanah, Notis Tuntutan Tunggakan Sewa tersebut juga disampaikan kepada pihak-pihak yang berikut;-

(a) mana-mana orang atau badan yang mempunyai kepentingan berdaftar yang menyentuh tanah itu (termasuklah pemegang gadaian/pajakan);

(b) mana-mana orang atau badan yang mempunyai satu lien ke atas tanah itu, atau ke atas mana-mana pajakan atau pajakan kecil;

(c) mana-mana orang atau badan yang menduduki mana-mana bahagian di bawah mana-mana tenansi yang bebas daripada pendaftaran yang dilindungi oleh suatu pengendorsan atas dokumen hakmilik daftaran kepada tanah itu di bawah Seksyen 317 Kanun Tanah Negara; dan

(d) mana-mana orang atau badan yang mempunyai tuntutan yang dilindungi oleh kaveat yang menyentuh tanah itu atau mana-mana kepentingan dalamnya. 

 

Pada notis yang disampaikan kepada pihak-pihak yang dinyatakan pada (a)-(d), dilampirkan juga notis tambahan yang menyatakan kaedah penebusan semula jumlah wang yang dibayar oleh mana-mana pihak (a)-(d) tersebut atau oleh mana-mana pihak yang lain. Walaupun pembayaran cukai tanah adalah kewajipan penuh pemilik tanah, peruntukan undang-undang di Malaysia membenarkan mana-mana pihak yang lain untuk menyelesaikan tunggakan cukai tanah dan memberi jalan kepada pihak tersebut untuk menuntut penebusan bagi pembayaran tersebut.

 

Namun demikian, sekiranya tunggakan cukai tanah sepertimana yang dituntut pada Borang 6A Kanun Tanah Negara tidak diselesaikan dalam tempoh tiga (3) bulan tersebut, Notis Rampasan akan disampaikan kepada pemilik tanah dan pihak-pihak (a)-(d) dan seterusnya tanah tersebut akan dilucuthak daripada pemilik tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri. Dalam kata lain, ini bermaksud tuan tanah tidak lagi mempunyai sebarang hak, kepentingan atau faedah terhadap tanah tersebut.

 

Kesimpulannya, pemilik tanah hendaklah peka dengan tanggungjawabnya untuk membayar cukai bagi tanah yang dimiliki untuk mengelakkan kerugian yang besar terhadap diri sendiri dan pihak-pihak yang berkepentingan.