APA JENIS HARTANAH YANG WARGA ASING (FOREIGNER) LAYAK BELI DI MALAYSIA ?

Dengan pasaran hartanah yang semakin rancak dan berkembang di Malaysia, ramai pelabur asing dah mula melabur semula di negara kita. Selain itu, dengan kemajuan infrastruktur, lokasi yang strategik dan dengan adanya Program Malaysia My Second Home (MM2H), ramai warga asing telah memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka. 

 

Sebelum membuat sebarang keputusan untuk memperoleh hartanah di Malaysia, warga asing perlu faham tentang dasar dan sekatan yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia. 

 

Secara amnya, warga asing di Malaysia dibenarkan untuk membeli/memiliki hartanah di Malaysia tidak kira sama ada hartanah itu jenis kondominium, banglo atau unit komersil. 

 

Walaubagaimanapun, di bawah Seksyen 433B Kanun Tanah Negara 1965, kebenaran daripada pihak berkuasa negeri (“Foreigner’s Consent”) perlu dibuat kerana ia adalah syarat utama untuk pembelian hartanah yang melibatkan pembeli yang bukan warganegara Malaysia. Dalam erti kata lain, warga asing perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri sebelum sesuatu hartanah boleh didaftarkan atas nama pembeli tersebut. 

 

Sebelum kebenaran pindahmilik warga asing diluluskan, pihak berkuasa negeri akan memberi pertimbangan sama ada jenis hartanah dan harga belian memenuhi syarat-syarat untuk pemerolehan oleh warga asing. 

 

Antara jenis hartanah yang tidak dibenarkan diperoleh oleh warga asing adalah seperti berikut:

 

  • Hartanah yang bernilai kurang daripada RM1,000,000.00;
  • Hartanah yang dikategorikan sebagai rumah kos rendah dan kos sederhana rendah;
  • Hartanah yang diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu (Malay Reserve Land); dan
  • Hartanah lot bumiputera

 

Anda boleh juga rujuk jadual dibawah berkenaan dengan syarat bagi harga minimum untuk setiap negeri.

In practice, biasanya permohonan “foreigner’s consent” akan dilakukan oleh Peguam yang mengendalikan urusan Perjanjian Jual Beli. Syarat-syarat yang telah kami kongsikan ini mungkin berlainan bergantung pada setiap negeri. Contohnya di Selangor, hartanah kediaman yang dibenarkan adalah terhad pada jenis Strata Sahaja.

 

Penafian:

Maklumat yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian umum sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat guaman atau profesional. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat guaman yang khusus sebelum membuat sebarang keputusan. Kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.