ADAKAH WARGANEGARA ASING LAYAK MEMBELI RUMAH DI MALAYSIA?
Malaysia merupakan destinasi popular bagi warganegara asing yang ingin membeli hartanah, sama ada untuk tujuan pelaburan atau sebagai tempat tinggal. Namun, terdapat beberapa syarat dan peraturan yang perlu diambil kira oleh warganegara asing sebelum membuat pembelian hartanah di Malaysia.
Boleh atau Tidak?
Di bawah undang-undang Malaysia, warganegara asing memang dibenarkan untuk memiliki hartanah, tetapi terdapat beberapa syarat dan peraturan yang perlu diambil kira.
Pada tahun 2002, kerajaan memperkenalkan skim MM2H (MALAYSIA MY SECOND HOME) untuk membolehkan warganegara asing yang memenuhi kriteria tertentu tinggal di Malaysia selama mungkin dengan menggunakan pas lawatan sosial kemasukan pelbagai. Visa ini berlangsung selama 10 tahun dan boleh diperbaharui. Pemohon hendaklah memperolehi aset cair sekurang-kurangnya RM500,000.00 dan juga menerima pendapatan sekurang-kurangnya RM10,000.00 sebulan.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Tuan Wong Kah Woh, Kerajaan Negeri akan menetapkan had untuk warganegara asing bagi melindungi hak-hak rakyat Malaysia. Ini untuk mengelakkan pembelian dari warganegara asing yang menyebabkan kenaikan harga hartanah tempatan. Setiap negeri menetapkan harga lantai yang berbeza bagi warganegara asing.
Apakah Had Minimum Harga Hartanah?
Salah satu faktor penting yang perlu dipertimbangkan adalah termasuk had minimum harga hartanah yang boleh dibeli oleh warganegara asing, serta keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Harta Tanah Malaysia.
Setiap kerajaan negeri menetapkan harga lantai untuk hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing dan pemegang visa MM2H. Kebanyakan negeri meletakkan harga lntai pada RM1 Juta bergantung kepada lokasi hartanah tersebut. Dengan adanya had harga seperti ini, secara tidak langsung dapat membantu rakyat Malaysia dapat membeli rumah yang mampu milik serta dapat mengawal spekulasi hartanah di Malaysia.
Apakah Jenis-Jenis Hartanah yang Boleh Dibeli?
Selain itu, adalah penting bagi warga asing untuk memahami dengan jelas jenis-jenis hartanah yang mereka boleh beli. Ada beberapa kategori hartanah yang tertentu untuk warganegara asing, seperti kondominium dan pangsapuri, sementara jenis hartanah lain mungkin tidak tersedia untuk pembelian oleh mereka. Sebagai contoh, terdapat sekatan tertentu seperti bagi hartanah “Bumiputera” atau “Tanah Rizab Melayu”. Jenis hartanah seperti ini adalah khusus untuk penduduk tempatan dan warganegara asing adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk membelinya.
Adakah Kebenaran Pihak Berkuasa Negeri Diperlukan?
Ya. Setiap pembelian hartanah oleh warganegara asing memerlukan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu bagi memastikan mereka dapat melakukan semakan maklumat dan kelayakan sebelum membeli hartanah di Malaysia. Proses ini berbeza mengikut lokasi dan negeri, dan ia boleh mengambil masa beberapa bulan untuk mendapatkan kelulusan tersebut.
Dari sini kita dapat lihat tidak semua akan layak untuk membeli hartanah di Malaysia dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri sebenarnya mengehadkan warganegara asing memiliki aset di Malaysia, selagi syarat-syarat dipenuhi.
Kesimpulan
Kesimpulannya, warganegara asing adalah dibenarkan membeli hartanah di Malaysia, tetapi mereka perlu mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh badan-badan tertentu. Adalah penting untuk mendapatkan nasihat daripada Penasihat Undang-Undang dan juga Agen Hartanah yang yang berpengalaman bagi memastikan proses pembelian tersebut berjalan dengan lancar serta mematuhi undang-undang di Malaysia. Dengan pemahaman yang jelas tentang syarat dan prosedur, warganegara asing boleh membuat keputusan yang tepat dalam membina kehidupan yang baharu serta memulakan pelaburan hartanah di Malaysia.