ANDA DIFITNAH DI SOSIAL MEDIA? APAKAH TINDAKAN YANG BOLEH ANDA LAKUKAN?
Media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp sering digunakan oleh rata-rata rakyat Malaysia untuk berhubung, mengemaskini status, berkongsi ilmu pengetahuan dan sebagainya. Namun, ada juga segelintir individu yang menyalahguna media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan telah memfitnah individu lain.
Fitnah secara penulisan di media sosial ini dikenali sebagai Libel. Fitnah Libel berlaku apabila terdapat sesuatu kenyataan dalam bentuk penulisan yang mempunyai tuduhan palsu terhadap orang yang difitnah dan ianya ditularkan atau disebarkan kepada orang lain.
Terdapat tiga syarat-syarat penting yang anda perlu penuhi sebelum anda memulakan tindakan fitnah terhadap orang yang telah mengeluarkan kenyataan yang tidak benar berkenaan anda: –
- Kenyataan yang dirujuk mengandungi kenyataan yang tidak benar atau tuduhan palsu.
Syarat ini gagal dipenuhi sekiranya kenyataan yang dikeluarkan tersebut adalah fakta dan benar walaupun ianya memalukan atau mengaibkan anda.
- Kenyataan yang tidak benar itu hendaklah merujuk kepada anda.
Sekiranya kenyataan tersebut dapat dibuktikan secara jelas merujuk kepada orang lain selain anda ataupun kenyataan tersebut dikeluarkan secara umum dan tidak menyebut nama anda atau merujuk kepada anda, maka elemen ini tidak dipenuhi walaupun anda terkesan dengan kenyataan tersebut.
- Kenyataan yang tidak benar tersebut telah disebarkan kepada mana-mana pihak ketiga. Sekiranya kenyataan yang tidak benar yang merujuk kepada anda tersebut hanya ditujukan kepada anda dan tidak disebarkan kepada pihak ketiga, anda telah gagal untuk memenuhi elemen ini.
Sebelum itu, anda diingatkan untuk membuat tangkapan skrin (screenshot) kenyataan fitnah yang ditujukan kepada anda di media sosial tersebut, jumlah pengikut orang yang memfitnah anda, “like” dan “share” serta komen-komen pembaca yang berbentuk negatif (sekiranya ada) di posting tersebut sebagai bukti bahawa terdapat kenyataan yang memburukkan anda.
Anda hendaklah memastikan bahawa kesemua dokumen sokongan yang berkaitan dengan kenyataan fitnah tersebut dicetak dan dibawa bersama sewaktu sesi perjumpaan dengan peguam anda bagi memudahkan peguam anda untuk membuat penilaian dan membuat anggaran berkenaan jumlah serta jenis kerugian yang boleh dituntut di Mahkamah.
Secara kebiasaannya, langkah pertama untuk memulakan tindakan saman sivil adalah dengan memberikan Notis Tuntutan kepada orang yang telah memfitnah anda di media sosial dan menuntut mereka untuk: –
- Membuat permohonan maaf secara terbuka;
- Memadam dan/atau menarik balik kenyataan berunsur fitnah tersebut; dan,
- Membayar ganti rugi terhadap reputasi anda dalam tempoh yang diberikan.
Sekiranya orang yang memfitnah anda masih gagal dan/atau enggan memenuhi tuntutan anda di dalam Notis Tuntutan tersebut, anda boleh teruskan dengan tindakan undang-undang terhadap individu tersebut di Mahkamah Sivil yang berbidang kuasa.
Selepas anda memfailkan tindakan saman, sekiranya Defendan melantik peguam dan memasukkan kehadiran di dalam tindakan tersebut, pihak-pihak akan melalui satu proses perbicaraan dan proses ini kebiasaanya memakan masa yang agak panjang. Jika peguam anda berjaya membuktikan kesemua elemen saman fitnah di atas dapat dipenuhi dan Defendan gagal untuk memberikan sebarang pembelaan yang munasabah, maka suatu penghakiman yang berpihak kepada anda akan diberikan oleh Mahkamah.
Jika kes anda berjaya, Mahkamah akan mengambil kira beberapa faktor di bawah dalam menentukan jumlah ganti rugi atau kuantum pampasan yang akan dibayar oleh Defendan kepada anda: –
- Kelakuan anda
Sama ada anda benar-benar terkesan dengan fitnah yang disebarkan
- Kedudukan dan reputasi anda dalam masyarakat
Kesan sesuatu fitnah terhadap seorang ahli politik atau selebriti adalah jauh lebih besar daripada orang awam kerana beliau lebih dikenali berbanding orang awam dan nilai pampasannya adalah lebih tinggi berbanding orang awam
- Tahap keseriusan fitnah
Lebih serius sesuatu fitnah itu maka lebih besarlah pampasan yang boleh diperolehi melalui Mahkamah
- Keluasan penyebaran fitnah
Mahkamah akan memberikan pampasan yang lebih tinggi sekiranya kenyataan fitnah tersebut tular secara meluas berbanding dengan fitnah yang tidak disebarkan dengan meluas
- Permohonan maaf atau penarikan balik kenyataan
Sekiranya orang yang yang memfitnah anda membuat permohonan maaf atau menarik balik kenyataan fitnah yang telah disebarkan, ia menjadi faktor untuk Mahkamah mengurangkan nilai pampasan anda kerana ia memberi indikasi bahawa orang yang memfitnah anda itu kesal dengan perbuatannya
- Kelakuan orang yang memfitnah
Sekiranya Mahkamah mendapati orang yang memfitnah itu tidak menunjukkan sebarang keinsafan atau kekesalan, nilai ganti rugi yang perlu dibayar mungkin akan menjadi tinggi
Tujuan ganti rugi atau pampasan yang diberikan oleh Mahkamah di dalam sesuatu kes saman fitnah adalah sebagai sagu hati di atas kesusahan dan/atau kesengsaraan yang dialami oleh anda disebabkan fitnah tersebut.
Kes saman fitnah adalah suatu kes yang rumit, tidak mudah dan pastinya kos guaman yang anda perlu keluarkan adalah tinggi bergantung kepada kes dan peguam. Jadi, pilihlah peguam yang tepat untuk mengendalikan kes anda.