Adakah duit raya Aidilfitri nafkah yang wajib diberi oleh Suami?
Latar kepada penulisan ini adalah apabila dihebahkan dalam media massa tentang berita perceraian dua sosok masyhur tahun lepas.
Dalam salah satu sebab yang disuarakan oleh sang isteri yang menatijahkan kepada keputusan perceraian, adalah apabila dia tidak pernah “merasa” duit raya daripada bekas suami sepanjang 4 tahun perkahwinan.
Allah S.W.T berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 34;
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka
Dalam Kitab al-Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Ma’ani Alfaz al-Manhaj seseorang individu wajib menafkahi orang lain atas sebab perkahwinan, kekeluargaan, dan pemilikan. Maka adalah wajib atas seorang suami untuk menafkahi isterinya selepas sah ijab dan qabul akad pernikahannya.
Kami merujuk kepada Kitab al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu dalam menyenaraikan tujuh perkara nafkah yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isterinya, iaitu: makanan, pakaian, tempat tinggal, alatan dapur dan rumah, alat kebersihan diri, serta pembantu rumah
Maka adakah Duit Raya adalah justifikasi yang berat untuk menatijahkan perceraian? Kami berpendapat bahawa ianya adalah bukan kewajiban yang terangkum di dalam huquq ul-zaujah ‘ala zauj (Hak isteri ke atas suami). Tambahan duit raya bukanlah syariat dan hanyalah kebiasaan dan amalan masyarakat ketika hari raya aidilfitri.
Kami juga berpendapat bahawa apa-apa syak ataupun prejudis hendaklah tidak dihebahkan ketika ‘iddah kerana ianya menyalahi usaha untuk suami dan isteri kembali ruju’ kepada perkahwinan yang mana ianya menjadi hikmah kepada pensyariatan ‘iddah.
Kami mengajak diri kami dan umum untuk mengambil tauladan daripada Hadis Nabi S.A.W tentang ramainya wanita di dalam neraka;
أُرِيتُ النَّارَ فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ يَكْفُرْنَ ”. قِيلَ أَيَكْفُرْنَ بِاللَّهِ قَالَ ” يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ
Maksudnya: Telah ditunjukkan kepadaku neraka yang ramai ahlinya daripada kaum wanita yang kufur. Sahabat bertanya “adakah mereka kufur kepada Allah?”. Nabi S.A.W menjawab: “Mereka kufur kepada suami mereka, dan mereka kufur dan tidak bersyukur dengan kebaikan-kebaikan suami mereka. Jika suami mereka sering bersifat ihsan dan berbuat baik kepada mereka sepanjang masa kepada salah satu mereka dan kemudian mereka melihat sesuatu yang tidak disukainya daripada kamu. Mereka berkata “Aku tidak pernah melihat sebarang kebaikan daripada kamu.
Kesimpulannya, pada hemat kami keculasan pemberian duit raya adalah suatu yang trivial yang tidak perlu dijadikan asbab dan dihebahkan kepada ramai.
إن نظن إلا ظنا وما نحن بمستيقنين، ولله أعلم