PANDUAN MEMBELI TANAH LOT BANGLO
- Tanah geran individu
Tanah lot banglo perlu mempunyai geran individu. Geran individu membolehkan tanah dipindahkan nama ke atas pembeli baru, diwariskan, dan membolehkan pembeli mendapatkan pinjaman bank. Geran individu hanya disediakan setelah pemecahan lot tanah besar dilakukan oleh pemaju atau penjual. Kadangkala ada lot tanah yang tidak dipecahkan, lalu dijual menggunakan geran bersama. Ini dikenali sebagai tanah lidi. Tanah lidi ini tidak boleh dipindah milik ke individu lain mengikut undang-undang, dan tidak akan mendapat pinjaman dari bank. Kebanyakan orang terjebak dengan tanah lidi kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding tanah yang mempunyai geran individu. Tetapi hakikatnya, pemilikan tanah lidi adalah berisiko dan berkemungkinan boleh hilang begitu saja kerana penukaran nama tidak diiktiraf undang-undang.
1. Zon tanah
Untuk bina banglo, pastikan tanah lot banglo yang dibeli terletak di zon kediaman. Selain zon kediaman terdapat juga zon perdagangan dan zon industri. Pastikan zon tanah sebelum membeli, kerana penukaran zon tanah memakan belanja dan masa yang banyak. Semakan boleh dibuat di Majlis Perbandaran/Bandaraya sama ada lot banglo yang ingin dibeli berada di dalam zon perumahan atau kawasan perancangan perumahan. Jika tidak termasuk dalam zon perumahan maka nanti status perumahan atau pembangunan yang dipohon agak sukar untuk didapati.
2. Mempunyai akses jalan masuk
Pastikan ada jalan masuk ke kawasan tersebut. Sekiranya tiada jalan masuk ke lot tanah sahaja, jalan masih boleh dibuat dengan mudah. Sekiranya tiada jalan masuk ke seluruh kawasan itu, permohonan untuk membina akses jalan masuk boleh dilakukan melalui Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran/Bandaraya mengikut kawasan masing-masing. Permohonan ini mungkin mengambil masa yang lama di atas faktor-faktor tertentu. Jadi yang terbaik adalah memilih tanah lot banglo yang mempunyai jalan masuk sedia ada.
3. Tanah rata dan tiada lereng
Tanah lot banglo yang terbaik dari segi kos adalah tanah yang rata, tidak berbukit, tiada sungai dan tiada lereng. Sekiranya di lot tanah ada lereng bukit, kos untuk membina benteng atau “retaining wall” perlu diambil kira. Benteng ini biasanya memerlukan kos yang besar sehingga beratus ribu ringgit. Untuk tanah yang tidak rata pula, anda perlu mengeluarkan kos untuk meratakan tanah. Ada juga jenis rumah yang dibuat di atas lereng bukit, namun seni bina ini semestinya menelan kos yang sangat banyak disebabkan oleh kerumitan pembinaannya.