Dalam pelaburan atau pembelian Hartanah, lokasi adalah antara faktor terpenting yang perlu dipertimbangkan. Ya, objektif bagi setiap individu itu berbeza dalam pelaburan atau pembelian Hartanah yang mana ada yang membeli sesuatu Hartanah itu untuk didiami sendiri atau hanya untuk disewakan kepada orang lain atau untuk dijual semula kepada orang lain. Kebanyakkan individu yang ingin membeli sesuatu Hartanah hanya memberi fokus kepada keluasan rumah dengan harga yang murah.
Untuk itu, artikel kali ini lebih memberi fokus kepada pemilihan lokasi yang perlu juga diambil kira oleh bakal-bakal pembeli Hartanah sebagai pelaburan yang mendatangkan pulangan yang lumayan sekiranya Hartanah tersebut dijual atau disewa. Antara lokasi-lokasi hangat untuk dibeli sebagai pelaburan adalah seperti berikut:-
1. KAWASAN PERINDUSTRIAN DAN KOMERSIAL
Kawasan ini telah menjadi tumpuan ramai pada masa kini. Kebanyakkan mereka suka berbelanja di pusat beli-belah ternama seperti di KLCC, Midvalley dan Pavillion. Malah peluang pekerjaan juga lebih luas di kawasan ini yang menyebabkan ramai antaranya lebih selesa untuk memiliki kediaman berdekatan dengan pusat beli-belah, pejabat atau tempat kerja. Hartanah di sekitar kawasan ini juga sangat lumayan untuk dijual semula atau disewakan kepada expatriate yang berkerja di Malaysia.
2. KEMUDAHAN PENGANGKUTAN AWAM
Kawasan Hartanah yang berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT boleh memudahkan sesiapa sahaja untuk sampai ke destinasi yang dingini tanpa kesesakan lalulintas terutamanya ke tempat kerja. Ramai yang tidak gemar berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang boleh menambahkan stress selain stress di tempat kerja. Oleh itu, mereka dapat mengurangkan stress dengan memiliki kediaman di sekitar kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan awam bagi memudahkan mereka untuk ke destinasi yang ingin dituju terutamanya ke tempat kerja.
3. PUSAT BANDAR
Pusat bandar merupakan kawasan terbaik bagi bakal-bakal pembeli untuk membuat pelaburan Hartanah. Hal ini kerana kawasan ini lengkap dengan kemudahan dan prasarana seperti sekolah, hospital, balai polis, dan sebagainya.
4. LEBUHRAYA
Jarak Hartanah ke pusat bandar boleh diambil kira juga untuk menaikkan sewa dan harga jualan Hartanah. Tujuan lebuhraya adalah untuk mendekatkan jarak perjalanan ke sesuatu tempat bagi menjimatkan masa perjalanan. Oleh yang demikian, adalah sangat menguntungkan apabila bakal-bakal pembeli membeli Hartanah yang berdekatan dengan lebuhraya.
5. KAWASAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT)
Kebanyakkan institusi pengajian tinggi tidak dapat menampung semua pelajar untuk duduk di dalam kampus. Hal ini menyebabkan ramai pelajar yang terpaksa menyewa rumah di luar kampus. Oleh yang demikian, hal ini dapat memberi peluang kepada bakal-bakal pembeli Hartanah untuk mula mengorak langkah mencari Hartanah di kawasan institusi pengajian tinggi yang mana Hartanah tersebut boleh disewakan kepada para pelajar institusi pengajian tinggi dan caj mengikut individu yang menyewa.
Justeru, kepada bakal-bakal pembeli yang bijaksana, anda boleh memburu Hartanah yang mempunyai kriteria-kriteria seperti yang disenaraikan sebagai langkah bijak untuk memiliki Hartanah dan sekaligus sebagai pelaburan untuk mendapat pulangan yang lumayan di masa akan datang.