Apakah Faktor Kes Cerai Semakin Meningkat di Malaysia? Apakah Solusi Terhadap Isu Ini?
Kini, realiti kehidupan kekeluargaan di Malaysia telah menunjukkan fenomena perceraian sebagai suatu isu yang polemik dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang telah membuktikan kes perceraian meningkat setiap tahun. Perceraian berlaku disebabkan kewujudan faktor tertentu yang membawa kepada ketegangan dalam hubungan rumah tangga. Justeru, perceraian menjadi pilihan bagi meleraikan ikatan perkahwinan yang telah terbina. Justeru, artikel ini bertujuan untuk memperlihatkan apakah faktor dan punca perceraian yang kerap berlaku di Malaysia. Selain itu, artikel ini juga memberikan solusi terhadap isu ini. Mari kita lihat apakah faktor-faktor yang wujud realiti kini mengapakah kes perceraian semakin meningkat di Malaysia?
- Tiada persefahaman
Faktor yang penting dalam mengekalkan sesuatu hubungan suami isteri dan kekeluargaan adalah persefahaman. Punca perceraian dalam kebanyakan hubungan kekeluargaan adalah tiada persefahaman di mana wujud pasangan suami isteri yang memberikan alasan bahawa tidak memahami pasangan, tiada sikap saling bantu-membantu dan malah gemar membuat hal sendiri walaupun sudah mempunyai anak. Isu ini juga dapat dilihat dalam kalangan belia muda yang berkahwin namun masing-masing tidak dapat memberi kerjasama dalam memainkan peranan sebagai suami isteri. Bahkan turut menimbulkan isu perselisihan faham dan membawa kepada ketegangan antara suami dan isteri. Perbezaan taraf pendidikan antara pasangan suami isteri juga boleh menyebabkan berlakunya ketidaksefahaman itu. Akhirnya jalan penyelesaian paling mudah akan dipilih iaitu bercerai. pasangan suami isteri ini akan memulakan ketidak kesefahaman kerana masing-masing tidak mampu untuk menghadapi masalah tersebut.
- Masalah Kewangan
Antara punca perceraian yang berlaku adalah berpunca daripada kesempitan kewangan boleh menjadi antara punca perceraian di Malaysia paling kerap berlaku. Ekonomi keluarga yang tidak stabil mengakibatkan suami isteri menghadapi kesukaran sehingga menyebabkan tekanan, khususnya kepada suami bagi menyara keluarga. Salah seorang daripada pasangan suami isteri tidak mahu memahami keadaan pasangannya seperti berkemungkinan mempunyai masalah dan tidak mampu untuk berbelanja dengan baik. Sebagai contoh, suami tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Hal ini menyebabkan isteri tidak lagi mampu untuk mempertahankan hubungan dan memohon perceraian di Mahkamah.
- Pasangan Curang
Sikap curang memang sering dikaitkan dengan golongan lelaki, baik yang sudah berkahwin mahu pun yang belum. Ada pasangan yang mengetahui hubungan sulit suami atau isteri menerusi panggilan telefon rakan dan kenalan, menemui bukti mereka keluar bersama, mengesyaki perubahan mendadak serta paling mengecewakan apabila menjadi saksi kedua-duanya bermadu asmara. Ada juga psangan yang tanpa rasa bersalah mempunyai hubungan lain di belakang pasangan masing-masing. Sudah terkantoi, pasangan tersebut mula berjanji akan berubah, namun semuanya hanya seketika dan akhirnya kembali berlaku curang. Keadaan itu tidak hanya melibatkan kaum lelaki, bahkan terdapat juga wanita yang curang di belakang pasangannya. Curang itu adalah satu pilihan. Apabila memilih untuk curang, ini bermakna turut menipu pasangan. Hubungan yang berlandaskan kecurangan dan penipuan? sampai bila pasangan yang dicurangi dan ditipu itu hanya perlu bersabar dan reda dengan kecurangan tersebut? Maka akhirnya jalan perpisahan akan menjadi pilihan.
- Campur Tangan Mertua
Kita sering terdengar mertua mencampuri urusan anak-anak yang sudah berkahwin. Ada kemungkinan mereka mempunyai niat yang baik, namun ada mertua yang terlalu ‘menyibuk’ dalam perihal anak menantunya, ia sekali gus menyebabkan hubungan perkahwinan tersebut memberi kesan sehingga ke arah perceraian.
Oleh yang demikian, solusi atau jalan penyelesaian terhadap isu ini adalah yang pertama komunikasi. Kerapkan berkomunikasi bersama teman hidup. Selain itu, pasangan suami isteri tersebut boleh mendapatkan nasihat kaunseling bagi menyelesaikan masalah rumah tangga sehingga boelh mendapatkan kedamaian. Saling meminta maaf dan cepat memaafkan kesalahan yang dilakukan serta berjanji untuk tidak mengulanginya lagi serta berbaik semula. Sentiasa jujur sesama sendiri di dalam perhubungan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Selain itu, yang paling penting adalah pasangan suami isteri hendaklah sentiasa mengingati Tuhan, menjalankan tanggungjawab dan suruhan Allah SWT serta berusaha meninggalkan larangan-Nya, pasti tidak terasa terlalu terbeban dengan mainan emosi.
Sebagai kesimpulannya, perkahwinan adalah bentuk penyatuan dua hati yang sangat dituntut dalam Islam. Menerusi hubungan inilah suami isteri mula belajar untuk berkongsi kasih sayang, pandangan, idea dan seluruh kehidupan mereka. Dalam membina hubungan suami isteri, banyak perkara perlu diteliti supaya sentiasa seimbang, mewujudkan toleransi dan berpegang kepada tanggungjawab.