Golongan isteri khusunya sering bertanyakan soalan-soalan situasi yang menjadi persoalan dan tanda tanya kepada mereka apakah mereka patut/perlu menuntut cerai dalam situasi-situasi yang mereka alami? Terdapat banyak soalan daripada anak guam saya yang menceritakan situasi mereka sebagai contoh “suami saya sudah lafazkan cerai dalam whasup”, “suami saya telah tinggalkan saya dan kami tidak tinggal bersama hampir dua tahun”, “suami saya sering pukul dan maki saya”, “suami saya tidak memberikan saya nafkah zahir sejak awal perkahwinan sehingga sekarang” . Lihatlah situasi-situasi berikut relaiti kini yang hampir setiap hari pertanyaan mengenai perceraian berlaku di kalangan kita. Apakah yang perlu mereka lakukan? Mereka hendaklah membuat permohonan perceraian di Mahkamah Syariah yang terdekat atau di tempat mereka bermastautin. Berikut adalah jenis-jenis permohonan perceraian yang perlu kita ambil tahu dan mengetahui jika terjadi situasi yang menimbulkan persoalan dalam isu perceraian.
1. CERAI TALAQ
Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq di bawah Seksyen 47- (Perceraian dengan talaq atau dengan perintah) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
2. PERCERAIAN TA’LIQ
Maksud cerai ta’liq ialah lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan. Perceraian ta’liq boleh juga berlaku apabila seorang suami membuat janji atau memberi amaran kepada isteri supaya melakukan atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu di bawah Seksyen 50 –(Perceraian di bawah ta’liq atau janji)Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
3. PERCERAIAN FASAKH
Perceraian fasakh bermakna pembatalan atau pembubaran perkahwinan antara suami isteri melalui perintah Mahkamah. Antara alasan-alasan isteri menuntut cerai fasakh di mahkamah syariah adalah seperti berikut:-
(a) suami telah menghilangkan diri tanpa diketahui di mana berada selama tempoh lebih daripada setahun;
(b) suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan;
(c) suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) suami tidak menunaikan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun;
(e)lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya dan pelbagai lagi alasan yang boleh di rujuk di bawah seksyen 53-(Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
4. PERCERAIAN TEBUS TALAQ (KHULUK)
Suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau harta benda lain kepada suaminya. Ataupun jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq di bawah Seksyen 49- ( Perceraian khul’ atau cerai tebus talaq )Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
5. PERTUKARAN AGAMA
Pembubaran perkahwinan kerana pertukaran agama oleh salah satu pasangan di bawah di bawah Seksyen 46 – (Pertukaran agama) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.