Berikut adalah kepentingan-kepentingan hakmilik strata yang wajar diambil peduli oleh setiap pemilik dan kesedaran tentang perlunya menjaga hakmilik strata tersebut sebaik mungkin :-
1. Sebagai Medium Cagaran kepada Bank/ Institusi Kewangan Berlesan
Setiap daripada kita pasti memerlukan pinjaman kewangan untuk kelangsungan hidup tak kira samada digunakan untuk pembelian kereta, rumah atau pinjaman peribadi/perniagaan. Dengan adanya Hakmilik Strata, pemilik boleh menggunakan hakmilik tersebut sebagai cagaran atau jaminan untuk kelulusan pembiayaan dengan pihak bank atau institusi kewangan berlesen yang dipohon bagi melunaskan pinjaman tersebut. Hakmilik Strata akan dipegang oleh pihak bank/institusi kewangan berlesen sehingga selesai pembiayaan pinjaman tersebut dan proses pemulangan semula hakmilik strata kepada pemilik dilengkapkan sepenuhnya oleh peguam yang dilantik menguruskan.
2. Memudahkan Kiraan dan Kutipan Yuran Penyelenggaraan Kediaman/Rumah Kedai Jawatankuasa/Perbadanan Pengurusan
Untuk setiap unit di bawah hakmilik strata, terdapat Jawatankuasa/Perbadanan Pengurusan yang dilantik untuk menguruskan kumpulan wang caruman yang dikumpul hasil daripada kutipan yuran penyelenggaraan, insurans kebakaran, dan akaun khas penghuni/pemilik kediaman/rumah kedai terbabit.
Jawatankuasa/Perbadanan Pengurusan ini bertanggungjawab menguruskan dan menyelenggara harta-harta bersama untuk manafaat penghuni/pemilik kediaman/rumah kedai dan menyimpan rekod tentang bayaran yang perlu dijelaskan oleh setiap pemilik dari semasa ke semasa.
Nombor unit pada Hakmilik strata membezakan rekod pembayaran daripada pemilik unit kediaman/rumah kedai terbabit dan membolehkan pihak Perbadanan/Jawatankuasa Pengurusan memantau dan membuat kiraan yang tepat untuk yuran penyelenggaraan terkini atau tunggakan (sekiranya ada) bagi setiap unit.
3. Mengelak Komplikasi Sekiranya Pemaju sedia ada Dibubarkan
Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir pemaju yang gagal meneruskan perniagaan mereka dan terpaksa dibubarkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Sekiranya perkara ini terjadi dan pemilik telah didaftarkan sebagai TUANPUNYA kediaman/rumah kedai tersebut di Hakmilik Strata masing-masing, proses seterusnya, sebagai contoh jual beli (subsale) kepada pembeli baru menjadi mudah kerana tidak melibatkan pemaju yang digulungkan tersebut. Dalam ertikata lain, pemilik berdaftar boleh meneruskan transaksi jualan tanpa perlu mendapatkan pengesahan ketulenan pemilikan benefisial daripada pemaju yang digulungkan tersebut.
4. Bukti Pemilikan Terhadap Kediaman Tersebut
Hakmilik Strata yang didaftarkan atas nama pemiliknya adalah tanda atau bukti bahawa pemilik tersebut adalah empunya bagi kediaman/rumah kedai terbabit bagi tujuan urusniaga seperti pindahmilk, gadaian, cagaran hatta tuntutan harta pusaka sejurus kematian pemilik.
Pihak yang berkepentingan boleh menggunakan Hakmilik Strata ini sebagai aset untuk menjalankan urusniaga seperti dinyatakan di atas.
Oleh yang demikian, setiap pemilik perlu menghargai dan memastikan Hakmilik Strata masing-masing disimpan dan dijaga seelok mungkin. Kehilangan Hakmilik Strata bukan sahaja mengundang banyak perkara negatif dan kemungkinan berlakunya sindiket penipuan (forgery) oleh individu tidak bertanggung jawab, malah proses penggantian hakmilik strata hilang juga memakan masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi.