BAKI PINJAMAN PERUMAHAN SUDAH DIJELASKAN : KETAHUI APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN

 

Apabila baki pinjaman perumahan telah dijelaskan sepenuhnya, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan proses ini diselesaikan dengan lancar dan sah. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ambil:

 

  1. Dapatkan Surat Penutupan Pinjaman (Release Letter)

Hubungi bank atau institusi kewangan yang memberi pinjaman untuk meminta surat penutupan pinjaman atau surat pelepasan. Surat ini mengesahkan bahawa pinjaman anda telah dilunaskan sepenuhnya dan tidak ada lagi hutang tertunggak.

 

  1. Semak Status Tanah dan Hak Milik  

 Semak pemilikan hartanah sama ada geran sudah didaftarkan atas nama anda dan berada dalam pegangan bank atau geran individu atau strata masih belum dikeluarkan kerana proses berikutnya bergantung kepada status pemilikan hartanah tersebut.

 

  1. Pelepasan Gadaian

  Jika geran sudah didaftarkan atas nama anda dan berada dalam simpanan pihak bank, maka anda perlu melantik pihak peguam untuk melakukan transaksi pelepasan gadaian di pejabat tanah. Ini adalah untuk memastikan gadaian bagi pihak bank dipadamkan dari rekod pejabat tanah dan geran asal akan dipulangkan kepada anda.

 

  1. Receipt and Reassignment

   Jika hartanah tersebut masih belum didaftarkan atas nama anda kerana geran individu atau strata masih belum dikeluarkan oleh pihak berkuasa, maka anda perlu melantik peguam untuk melakukan transaksi Receipt and Reassignment. Proses ini adalah untuk membatalkan Power of Attorney bank di mahkamah tinggi bagi membuktikan bahawa bank sudah tidak ada hak ke atas hartanah tersebut.

 

  1. Batal Insurans atau Perlindungan Pinjaman (Jika Ada)

 Jika pinjaman perumahan anda dilindungi oleh insurans (seperti insurans gadai janji atau perlindungan hayat), anda boleh berbincang dengan pihak insurans untuk membatalkan polisi tersebut.

 

  1. Menyimpan Rekod

   Simpan semua dokumen penting yang menunjukkan pinjaman telah dilunaskan, seperti surat penutupan pinjaman dan surat pelepasan, geran asal atau Deed of Receipt and Reassignment yang asal sebagai rekod penting bagi urusan masa depan.

 

Dengan menyelesaikan langkah-langkah ini, anda memastikan bahawa proses pelunasan pinjaman perumahan anda selesai dengan betul dan tidak ada masalah di kemudian hari berkenaan status hartanah atau kewangan anda.