Bersangka-sangka dalam urusan pembahagian harta pusaka

 

Sebagai seorang muslim, umum mengetahui bahawa apabila berlakunya kematian seseorang, harta pusakanya akan dibahagikan mengikut Hukum Faraid seperti yang termaktub dalam al-Quran dan Hadith Nabi S.A.W. 

 

Hak pembahagian tersebut hendaklah diterima ataupun sekurang-kurangnya diketahui oleh penerima jika dia ingin membuat keputusan untuk melepaskan haknya sama ada sebahagian ataupun secara keseluruhan. Perkara ini dipanggil Takharruj iaitu melepaskan hak faraid seseorang kepada seseorang yang lain. 

 

Menurut pengalaman kami, ada beberapa individu yang datang kepada kami menyuarakan kebimbangan dengan menyatakan apabila salah seorang ahli waris yang akan mendapat bahagian pusaka si mati kelak akan membolot harta pusaka si mati ataupun mereka ini tidak akan berlaku adil dengan harta yang bakal diterima olehnya.

 

Seperti yang dinyatakan tadi, hak tersebut hendaklah ditunaikan kepada penerima yang berhak kerana ianya adalah ketetapan oleh Allah S.W.T. Sangkaan terhadap sesuatu perkara yang belum berlaku amatlah ditegah di dalam islam. Lebih-lebih lagi apabila sangkaan itu menidakkan hak seseorang yang patut diterima olehnya. Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Hujurat  ayat 12; 

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. 

 

Merujuk ayat di atas, Allah S.W.T memerintahkan orang-orang yang beriman untuk menjauhi sifat bersangka-sangka. Sifat sangkaan dapat menimbulkan sifat zalim dalam diri seseorang lebih-lebih lagi apabila ianya menghalang hak orang lain terhadap sesuatu.

 

Apabila sifat prasangka menguasai diri, di dalam situasi ini apabila kita bersangka terhadap seseorang yang layak menerima pembahagian harta faraid, ianya menjadikan diri kita zalim kepada mereka. Tidak kiralah apa jua sangkaan, yang menatijahkan penahanan hak kepada mereka. 

 

Sama ada beliau akan bersifat adil dengan bahagian harta yang diterima olehnya, adalah urusannya dengan Allah S.W.T. Kita tidak digalakkan untuk membalas suatu kezaliman dengan kezaliman sedang keadilan itu lebih dekat dengan ajaran Nabi S.A.W.