Pada masa kini, realiti kehidupan yang kita boleh lihat adalah hampir setiap hari terdapat banyak kes perceraian telah berlaku di Malaysia. Menurut statistik dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berdasarkan statistik permohonan Tribunal Perkahwinan sejak 2013 hingga Mei 2019, hampir 28 ribu kes cerai yang telah dicatatkan dengan pelbagai isu dan punca. Namun, masih lagi wanita-wanita di luar sana tidak tahu akan hak-hak mereka selepas perceraian. Hakikatnya, terdapat banyak hak isteri yang telah diceraikan yang mereka perlu tahu untuk dituntut di Mahkamah Syariah. Pada kali ini, saya akan memberikan keterangan/kefahaman secara ringkas apakah hak-hak isteri yang boleh dituntut kepada bekas suami di Mahkamah Syariah. Ini kerana Allah S.W.T telah memberi panduan tentang hak-hak wanita selepas diceraikan oleh suami. Bukan sahaja semasa dalam perkahwinan sahaja suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, namun selepas perceraian masih ada lagi tanggungjawab suami dalam melaksanakan nafkah kepada isteri dan anak-anak.
PERKARA YANG BOLEH DITUNTUT DI MAHKAMAH SYARIAH
Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan ke atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah:
1. NAFKAH IDDAH
-Sekiranya seseorang isteri diceraikan oleh suaminya dengan talaq rajie maka menjadi tanggungjawab ke atas suami menyediakan nafkah berikut kepada isterinya selama mana di dalam tempoh iddah:-
i. Menyediakan makanan yang sepatutnya.
ii. Menyediakan pakaian yang sepatutnya.
iii. Menyediakan tempat tinggal untuk isteri yang diceraikan itu.
iv. Menyediakan apa-apa yang patut kepada seorang isteri seperti belanja perubatan dan sebagainya.
2. MUTA’AH
-Mut’ah adalah suatu pemberian harta yang wajib ke atas suami untuk membayar kepada isterinya yang telah diceraikan pada masa hidup dengan talak, bergantung kepada beberapa syarat. Kadar mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut’ah tersebut.
3. HARTA SEPENCARIAN
-Harta sepencarian adalah harta yang diperolehi semasa dalam masa perkahwinan oleh suami isteri dan hasil daripada sumber-sumber atau usaha mereka bersama berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan.
4. HADANAH/HAK JAGAAN ANAK
-Hadanah atau hak jagaan anak bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan, dalam proses perceraian atau selepas perceraian. Mengikut Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu adalah yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan). Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, Mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.Tuntutan hak jagaan anak (Hadhanah) ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
5. NAFKAH ANAK
-Nafkah anak ialah nafkah yang wajib ke atas seseorang bapa kepada anak tersebut bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain. Nafkah anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya. Seorang bapa wajib menanggung nafkah anaknya. Jika bapa tiada, tanggungan berpindah mengikut susunan tertib wali.
6. TUNGGAKAN NAFKAH ISTERI
-Tunggakan nafkah ialah jika suami semasa dalam tempoh perkahwinan tidak memberikan atau menunaikan nafkah terhadap isterinya, maka ianya adalah manjadi hutang ke atas suami dan wajib membayar kepada isteri tersebut. Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah.
7. TUNGGAKAN NAFKAH ANAK
-Tunggakan nafkah anak boleh dipohon kepada Mahkamah apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.
Sebagai kesimpulannya, kembalikanlah hak-hak anda semua wahai kaum hawa. Tuntutlah hak-hak anda di atas landasan yang telah ditetapkan oleh syarak kerana dengan adanya hak-hak ini akan kembalikan keadilan anda selepas diceraikan oleh suami. Pada tajuk akan datang, saya akan merungkaikan satu persatu dengan lebih lanjut dan terperinci tentang setiap hak-hak di atas ini.
Semoga dengan perkongsian saya pada kali ini dapat memberikan pencerahan dan bermanfaat kepada pihak-pihak yang terlibat amnya dan kepada wanita-wanita khususnya dalam memastikan hak-hak anda dapat dituntut di Mahkamah Syariah.