Hakmilik tanah adalah merupakan bukti pemberimilikan tanah oleh kerajaan negeri kepada mana-mana individu atau syarikat dan kebiasaannya hakmilik tanah akan mengandungi maklumat-maklumat penting yang berkaitan dengan hartanah tersebut seperti siapa pemilik tanah, tanah kawasan mana yang dimiliki, jenis hakmilik, syarat dan sekatan yang dikenakan serta maklumat mengenai gadaian terhadap tanah tersebut kepada bank pinjaman dan lain-lain maklumat.

Hakmilik boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:
1) Hakmilik Sementara (Qualified Title):
a) Hakmilik Sementara ialah geran yang ukuran atau keluasan tanah belum lagi diukur halus oleh Pejabat Tanah.
b) Dengan adanya hakmilik sementara, pemilik masih lagi boleh melakukan segala urusniaga seperti menjual, memajak, menggadai dan sebagainya.
c) Dikenali sebagai H.S.(M) atau Hakmilik Sementara Mukim dan H.S.(D) atau Hakmilik Sementara Daerah.

2) Hakmilik Tetap (Final Title):
a) Ukuran atau keluasan tanah telah diukur halus oleh Pejabat Tanah sewaktu geran dikeluarkan.
b) Hakmilik tetap sangat diperlukan bagi memastikan binaan bangunan yang didirikan berada betul-betul di dalam kawasan atau sempadan lot tersebut.
c) Dikenali sebagai GM atau Geran Mukim, PM (Pajakan Mukim), GRN/GN (Geran/Geran Negeri) dan PN (Pajakan Negeri).

Tujuan ukur halus dilakukan adalah untuk mendapatkan ukuran muktamad bagi keluasan satu-satu hartanah. Keluasan yang telah diukur ini kemungkinan akan berbeza sedikit dengan ukuran semasa geran belum lagi muktamad. Dan perbezaan itu juga akan menyebabkan berlakunya pengurangan atau penambahan kepada cukai tanah bagi hartanah tersebut.
Seterusnya anda semua perlu tahu dimanakah tempat simpanan hakmilik atau tempat hakmilik didaftarkan dan juga tempat untuk membuat carian hakmilik. Lokasi untuk melakukan sebarang urusan bagi kedua-dua jenis hakmilik ini adalah berbeza.
Bagi jenis hakmilik yang bermula dengan H.S.(D) (Hakmilik Sementara Daftar), Geran/GRN dan PN (Pajakan Negeri), sebarang urusan seperti pendaftaran dan membuat carian perlu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian.
Manakala jenis hakmilik yang bermula dengan H.S.(M) (Hakmilik Sementara Mukim), PM (Pajakan Mukim) dan GM (Geran Mukim) urusan carian dan pendaftaran perlu dilakukan di Pejabat Tanah dan Daerah.
Hanya terdapat satu Pejabat Tanah dan Galian bagi setiap negeri, sebagai contoh Pejabat Tanah dan Galian Selangor yang bertempat di Shah Alam bagi negeri Selangor. Manakala untuk Pejabat Tanah dan Daerah pula, anda perlu merujuk pada tempat daerah seperti yang tercatat di dalam geran masing-masing, sebagai contoh Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat.

Kepentingan mengetahui jenis hakmilik;
1) Membantu untuk mengetahui dimana Carian Persendirian atau Carian Rasmi perlu dibuat
2) Untuk mengetahui maklumat sebenar hartanah
3) Untuk mengetahui dimana lelongan hartanah akan dilakukan sekiranya terlibat FORCE MAJEURE