Rata-rata, persoalan pertama daripada pembeli kepada pihak peguam adalah kategori hartanah jatuh di bawah kategori Pegangan Bebas (Freehold) atau Pegangan Pajakan (Leasehold). Kadang-kadang kita biasa lihat di papan iklan yang disediakan oleh pemaju menyatakan bahawa hartanah yang dijual adalah pegangan bebas untuk menarik perhatian orang ramai bagi membeli hartanah di projek tersebut. Secara umumnya terdapat dua jenis Hakmilik Hartanah iaitu Hakmilik Kekal/ Pegangan Bebas dan Pegangan Pajakan. Berikut merupakan perbezaan dan mungkin persamaan perkara di antara Hakmilik Kekal dan Pegangan Pajakan;
1. Pemilikan
Pemilikan bagi hartanah Pegangan Bebas adalah kekal iaitu selama-lamanya dan tidak perlu dikembalikan kepada kerajaan. Jadi, kita boleh memindahmilik kepada individu lain dengan mudah. Manakala, pemilikan hartanah Pegangan Pajakan akan dikembalikan kepada kerajaan negeri apabila tamatnya tempoh pajakan. Tempoh pajakan ada tertera di atas hakmilik biasanya dalam tempoh 99 tahun berserta dengan tarikh akhir pajakan. Oleh itu, pemilik hartanah pajakan perlu membuat permohonan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri yang berkaitan untuk melanjutkan atau memperbaharui pajakan sebelum tamat tempoh yang tertakluk kepada kelulusan mereka. Sebaik sahaja kelulusan diberikan, pemilik akan dikehendaki membayar sejumlah premium untuk tempoh lanjutan.
2. Tertakluk kepada Akta Pengambilan Tanah 1960
Walau bagaimanapun, Akta Pengambilan Tanah 1960 memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk memperoleh penggunaan tanah walaupun hartanah tersebut adalah kategori Pegangan Bebas. Secara umumnya, pengambilan tanah mandatori hanya berlaku sekiranya hartanah itu diperlukan untuk tujuan pembangunan negara dan ia hanya boleh dilakukan dengan pampasan munasabah kepada pemiliknya.
3. Urusniaga
Untuk makluman tuan, di dalam maklumat setiap Hakmilik terdapat Sekatan Kepentingan yang dinyatakan. Kebiasaannya, Sekatan Kepentingan yang dinyatakan di dalam hartanah Pegangan Bebas adalah tiada. Transaksi urusniaga lebih mudah daripada hartanah pajakan. Urusniaga hartanah Pegangan Bebas akan mengambil masa 3 + 1 bulan untuk diselesaikan yang merupakan kerangka masa standard seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Jual Beli (sub- sale).
Berbeza dengan urusniaga jualan dan pembelian hartanah Pegangan Pajakan kerana di dalam Hakmilik ada tertera Sekatan Kepentingan iaitu tanah ini tidak boleh dipindahmilik, dipajak atau digadai melainkan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri. Justeru, kebiasanya kebenaran pindahmilik dan gadaian tersebut akan mengambil masa beberapa minggu/bulan untuk diproses bergantung kepada pihak berkuasa negeri tersebut.
Sebaliknya, terdapat juga hartanah Pegangan Bebas yang mempunyai sekatan kepentingan dan ada juga hartanah Pegangan Pajakan yang tiada sekatan kepentingan. Sebenarnya, maklumat sekatan kepentingan yang tertera di dalam Hakmilik ini akan mempengaruhi masa dan perjalanan proses jual beli hartanah.
Oleh itu, adalah penting untuk pihak peguam membuat carian persendirian ke atas hartanah di pejabat tanah yang berkaitan bagi menyemak status tanah ini dan maklumat lain yang berkaitan agar perjanjian jual beli dapat disediakan dan dilaksanakan dengan sempurna dan betul.
4. Pengenalan berdasarkan nombor Hak milik.
Hak milik Pegangan Bebas
Pejabat Daftar Tanah Negeri: Hak milik sementara Daftar [HS(D)], Geran [Geran]
Pejabat Tanah dan Daerah : Hak milik Sementara Mukim [HS(M)], Geran Mukim [GM]
Hak milik Pegangan Pajakan
Pejabat Daftar Tanah Negeri: Hak milik Sementara [HS(D)], Pajakan Negeri [PN]
Pejabat Tanah dan Daerah : [HS(M)], Pajakan Mukim [PM]
5. Objektif Pembelian
Memandangkan hakikat bahawa kerajaan akan dapat mengambil alih sama ada tanah pegangan pajak atau tanah pegangan bebas untuk membangunkan atau membangun semula hartanah untuk tujuan awam atau pembangunan ekonomi, ini menjadikan kedua-dua pegangan bebas dan pajakan sama rata. Rata-rata kini pembeli memilih untuk membeli hartanah dengan melihat kepada lokasi berdekatan dengan tempat kerja dan juga harga hartanah sebelum harga hartanah melambung tinggi tanpa memilih kategori tanah bagi memudahkan perjalanan urusan seharian bersesuaian dengan tangga gaji dan tanggungan masing-masing.
Diharapkan, anda semua mendapat input berkenaan dengan jenis-jenis Geran/ Hakmlik hartanah daripada artikel kali ini.