Hikmah lebihnya bahagian lelaki berbanding wanita dalam pembahagian Faraid

 

Apabila kematian seseorang yang beragama islam, hartanya hendaklah dibahagikan kepada waris-waris yang ditinggalkannya mengikut hukum faraid. Hukum faraid adalah suatu ketetapan pembahagian harta pusaka yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran secara khususnya di dalam surah an-Nisa’.  Allah S.W.T berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat ke 7; 

 

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

 

Maksudnya: Bagi lelaki-lelaki itu ada bahagian daripada harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan kerabat, dan perempuan-perempuan ada bahagian harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak daripada harta itu. Iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

 

Ayat di atas menjelaskan bahawa tiap-tiap orang itu mempunyai hak terhadap harta pusaka daripada kematian ibu bapa atau ahli keluarga mereka. Bahagian-bahagian tiap-tiap orang tersebut telahpun ditetapkan oleh Allah S.W.T. Dalam kes pembahagian antara anak lelaki dan anak perempuan yang menerima ‘asabah, pembahagiannya disebut di dalam ayat 11 surah yang sama; 

 

يُوصِيكُمُ اللَّـهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ

 

Maksudnya: Allah perintahkan ke atas kamu mengenai anak-anak kamu (pembahagian harta pusaka kepada mereka), iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

 

Dalam ayat di atas, Allah S.W.T menjelaskan pembahagian harta pusaka kepada anak lelaki bersamaan dengan dua bahagian bagi yang perempuan. Menjadikan bahagian yang berhak diperolehi oleh anak lelaki dua kali ganda berbanding bahagian anak perempuan. Pada zaman jahilliyah, mereka hanya membahagikan harta pusaka kepada waris lelaki dan waris perempuan tidak menerima apa-apa daripada harta peninggalan ahli keluarga mereka. Ayat di atas membuktikan keadilan hukum islam kepada waris perempuan. 

 

Maka persoalannya, mengapakah bahagian anak lelaki bersamaan dengan dua bahagian anak perempuan? Bukankah lebih adil jika diberikan secara sama rata antara mereka? Keadilan bukanlah memberikan sesuatu dengan sama, tetapi meletakkan sesuatu sesuai dengan hak dan keperluannya. 

 

Seorang lelaki itu secara syarienya ditaklifkan untuk menanggung beberapa perkara. Antaranya adalah kewajipan menafkahi isterinya, anak-anaknya, saudara perempuannya. Nafkah berkaitan makanan, pakaian, perbelanjaan harian, dan tempat tinggal. Maka, keperluan lelaki terhadap harta itu lebih tinggi daripada perempuan kerana mereka diwajibkan untuk mengeluarkan nafkah. Seorang perempuan itu tidak ditaklifkan untuk memberi nafkah kepada sesiapa pun, Berbeza dengan lelaki, mereka perlu menanggung nafkah bagi ahli keluarga dan kaum kerabat. 

 

Melihat kepada hikmah ini, kami berpendapat bahagian anak lelaki yang lebih daripada anak perempuan yang diterima adalah wajar dengan melihat tanggungjawab yang dibebankan ke atas seorang lelaki. Amaran kepada lelaki yang menerima sesuatu harta pusaka, bahawa mereka hendaklah bersifat amanah dalam menguruskan apa yang diterima olehnya. Setiap harta yang diterima dan dibelanjakan akan dipersoalkan di hadapan Allah S.W.T ketika hari akhirat. Jauhilah daripada berlaku zalim kerana Nabi S.A.W tidak bersama golongan tersebut. Bahawa setiap hak yang dilunaskan dan diterima itu terselit tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.