Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua.
Artikel-artikel kami sebelum ini banyak menyentuh perkara-perkara yang melibatkan Pembeli Hartanah. Jadi, kali ini kami ingin menyentuh salah satu perkara penting yang perlu di ambil tahu oleh Penjual Hartanah.
Sebelum Penjual membuat keputusan untuk menjual Harta mereka, mereka perlu memastikan yang mereka adalah pemilik berdaftar atau pemilik berkepentingan (bagi Hartanah yang masih lagi dipegang di bawah Hakmilik Induk) dan orang yang mempunyai kuasa untuk menjual Harta mereka dan menandatangani Perjanjian Jual Beli dan juga Suratcara Pindahmilik.
Ada beberapa situasi di mana Penjual hilang kuasa untuk menjual Harta mereka walaupun mereka adalah pemilik berdaftar atau pemilik berkepentingan.
1. Sekiranya Penjual telah diistiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi, menurut Seksyen 24(4) Akta Kebankrapan 1967 segala harta dan aset secara automatik terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). Dalam situasi ini, Penjual tidak dibenarkan untuk memindahmilik semua hartanya kepada pihak ketiga atau menjual selepas Perintah Kebankrapan tersebut dikeluarkan tanpa kebenaran KPI. Walaupun Penjual diistiharkan bankrap atas hutang yang bukan melibatkan Harta yang hendak dijual, Penjual perlu mendapatkan pelepasan daripada KPI sekiranya Penjual ingin menjual hartanya.
2. Harta yang diperolehi oleh Penjual semasa dalam tempoh perkahwinan Penjual dan pasangan namun mereka telah bercerai, Harta tersebut akan tertakluk kepada Harta Sepencarian atau Alimoni (bagi yang bukan Muslim). Penjual perlu memastikan tuntutan Harta Sepencarian atau Alimoni di antara Penjual dan bekas pasangan telah diselesaikan sebelum membuat keputusan untuk menjual hartanya. Jika tidak, bekas pasangan boleh memasukkan injunksi terhadap Harta tersebut dan akan menyebabkan transaksi jual beli tidak dapat diteruskan. Walaupun hanya nama Penjual sahaja yang didaftarkan atas Harta tersebut, Harta Penjual diperolehi dalam tempoh perkahwinan dan bekas pasangan mempunyai hak keatas Harta tersebut.
3. Penjual yang memegang Harta pemilik yang sudah meninggal dunia sebagai Pentadbir tidak boleh memindahmilik atau menjual Harta tersebut. Ini disebabkan pentadbir Harta tidak ada hak pemilikan atau kepentingan terhadap harta yang ditadbirnya melainkan beliau sendiri adalah salah seorang waris yang berhak menerima harta simati tersebut. Dalam hal ini, Penjual perlu mendapatkan daripada perintah pejabat pusaka kecil atau mahkamah. Begitu juga sekiranya Penjual merupakan Pemegang Amanah bagi Harta yang terlibat, Penjual tidak ada hak dan kuasa penuh terhadap hartanah tersebut. Secara ringkas Harta tersebut hanya boleh dipindahmilik atau dijual melainkan dengan persetujuan daripada pemberi amanah itu sendiri.