Sebaik sahaja pihak peguam menerima sesuatu kes Perjanjian Jualbeli, perkara pertama dan yang terpenting yang akan dibuat oleh seorang peguam ialah melakukan carian persendirian ke atas hartanah yang terlibat di dalam transaksi Perjanjian Jualbeli tersebut. Persoalannya, kenapa carian perlu dilakukan?

Pertama, bagi memastikan maklumat berkenaan hartanah tersebut adalah tepat, benar, sahih dan terkini. Sebagai contoh, pihak yang ingin menjual hartanah tersebut mestilah pemilik berdaftar ke atas hartanah tersebut. Hal ini kerana, di Malaysia, di bawah sistem Torrens, nama yang berdaftar di atas sesuatu hakmilik dianggap sebagai pemilik yang sah di sisi-sisi undang-undang dan memiliki kapasiti untuk menjual hartanah tersebut. Keduanya, bagi mengenalpasti sekatan atau halangan (encumbrances) yang terdapat ke atas hartanah tersebut. Sebagai contoh, hartanah tersebut digadaikan oleh pihak Penjual kepada institusi kewangan.

Carian yang dibuat adalah merupakan suatu usaha wajar (due diligence) yang harus dilakukan oleh pihak peguam sebelum merangka suatu Perjanjian Jualbeli dan sebelum perjanjian tersebut ditandatangani oleh pihak Pembeli dan Penjual bagi memastikan maklumat mengenai hartanah yang akan dijual/dibeli tersebut adalah benar. Ini juga adalah untuk mengelakkan daripada sebarang unsur-unsur penipuan (fraud) dan perdaya (misleading) ke atas hartanah tersebut.

Orang awam yang berminat untuk memiliki mana-mana hartanah di Malaysia juga boleh melakukan carian terlebih dahulu jika ingin mengetahui status dan maklumat yang terkini berkenaan hartanah yang hendak dimiliki adalah seperti yang dimaklumkan atau disampaikan oleh pihak-pihak tertentu. Ini juga dapat menambah keyakinan sebelum memasuki mana-mana Perjanjian Jualbeli dan membuat sebarang komitmen untuk membeli hartanah yang diidamkan.

JENIS MAKLUMAT YANG DIDEDAHKAN MELALUI CARIAN
1. Status ketuanpunyaan/kepemilikan;
2. Jenis hakmilik;
3. Sekatan kepentingan daripada Pejabat Tanah Daerah;
4. Status hakmilik dan tempoh pegangan;
5. Halangan/bebanan (encumbrances); dan
6. Lain-lain seperti luas tanah, syarat nyata

DEFINISI
• Carian boleh dikategorikan kepada 2 iaitu carian persendirian (Seksyen 384 Kanun Tanah Negara) dan carian rasmi (Seksyen 385 Kanun Tanah Negara)
• Carian untuk memeriksa, mencatat atau ‘extract’ mana-mana daftar hakmilik, buku perserahan atau buku pembetulan atau apa-apa instrumen urusniaga atau permohonan yang disertakan kepada pendaftar. Bagi carian rasmi tersebut perlulah ditandatangani oleh pendaftar.

SIAPA YANG BOLEH MEMOHON?
Mana-mana orang, agensi, syarikat atau badan yang berkepentingan.

CARA PERMOHONAN CARIAN
• Permohonan hendaklah dibuat menggunakan borang carian persendirian/carian rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah Daerah mengikut Seksyen 384 & 385 Kanun Tanah Negara.
• Bayaran permohonan carian persendirian sebanyak RM30.00 manakala bayaran permohonan carian rasmi sebanyak RM50.00
PERMOHONAN
Permohonan boleh dibuat di pejabat tanah atau pejabat pendaftar dimana hakmilik tersebut dikeluarkan.

Justeru, carian merupakan perkara yang sangat penting dan wajib dilakukan bukan sahaja sebelum sebarang urusniaga hartanah bermula tetapi semasa dan selepas proses jualbeli berjalan bagi memastikan kelancaran dalam proses pindahmilik kelak tanpa sebarang masalah.