KEPENTINGAN PERJANJIAN PEMBINAAN RUMAH YANG SAH 

Antara perkara yang penting sebelum bermulanya proses pembinaan rumah adalah perjanjian pembinaan yang sah dari segi undang-undang bagi memastikan projek pembinaan rumah berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan. Perjanjian ini bukan sahaja berfungsi sebagai panduan kerja tetapi sebagai panduan dan penjaga kepentingan kedua-dua pihak iaitu pemilik tanah dan kontraktor. 

 

Mengapa perjanjian pembinaan ini penting? Pertama, perjanjian ini dapat melindungi hak pemilik tanah dan kontraktor. Perjanjian pembinaan yang sah dari segi undang-undang mengikut pihak-pihak yang telah menandatanganinya selepas perjanjian tersebut disetem. Perjanjian ini mengandungi semua terma dan syarat penting seperti jumlah skop kerja, kos pembinaan, tempoh siap dan kaedah penyelesaian pertikaian. Oleh yang demikian, pihak-pihak yang telah terikat dengan perjanjian perlu mematuhi dan menjalankan peranan masing-masing sesuai dengan terma dan syarat yang telah dipersetujui bagi mengelakkan penalti maupun tindakan undang-undang diambil ke atasnya.

 

Kepentingan kedua adalah bagi membolehkan pemilik tanah mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan. Kebanyakan bank dan institusi kewangan memerlukan salinan perjanjian pembinaan yang sah sebagai dokumen sokongan dalam mendapatkan kelulusan pinjaman pembinaan rumah. Selain itu, kepentingan ketiga pula perjanjian ini juga dapat memastikan projek berjalan dengan lancar. Kandungan di dalam perjanjian ini yang merangkumi setiap aspek projek dari skop kerja hingga kepada pembayaran dan penyelesaian masalah sehingga projek dapat diuruskan dengan teliti.

 

Keempat, perjanjian ini mengikat kontraktor supaya mematuhi spesifikasi dan kos pembinaan yang dipersetujui. Projek pembinaan yang dijalankan lebih terancang dan tidak diubah dengan sewenang-wenangnya oleh pihak kontraktor. Pemilik tanah lebih mudah untuk memantau berdasarkan perjanjian ini kerana perlu diingat bahawa sebaarang perubahan akan memberikan kesan kepada projek serta akan menyebabkan penambahan kos kepada pemilik tanah. Oleh itu, dengan perjanjian ini, pihak kontraktor perlu berbincang, memaklumkan dan mendapatkan pengesahan daripada pemilik tanah terlebih dahulu untuk mambuat sebarang perubahan kepada projek pembinaan. 

 

Bagi kepentingan terakhir, perjanjian pembinaan juga dapat mengelakkan kelewatan tempoh siap projek pembinaan tersebut. Pihak kontraktor perlu menyiapkan projek pembinaan dalam tempoh siap yang telah ditetapkan kerana sebarang kelewatan, penalti boleh dikenakan ke atas kontraktor. 

 

Apa kesan atau akibat yang kemungkinan boleh terjadi sekiranya projek pembinaan dijalankan tanpa perjanjian pembinaan? Pertama, kesan yang mungkin terjadi adalah risiko projek terbengkalai. Projek pembinaan sememangnya berisiko dan terdedah kepada terbengkalai sekiranya tiada perancangan yang teratur, pemantauan yang berkala dan pelbagai faktor-faktor lain. Walaubagaimanapun, risiko tersebut dapat dikurangkan dan dikawal sekiranya terdapat perjanjian yang mengikat pihak-pihak. 

 

Kesan kedua yang boleh terjadi adalah pertikaian dengan kontraktor. Perjanjian pembinaan yang telah menggariskan skop kerja, kos pembinaan dan lain-lain perlu dipatuhi oleh pihak-pihak dan menjadi garis panduan kepada pihak-pihak bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan yang mungkin timbul sepanjang projek berlangsung. Perjanjian yang lengkap juga mengandungi klausa berkaitan penyelesaian pertikaian maka sekiranya terdapat pertikaian di antara kontraktor dan pemilik tanah, pihak-pihak boleh lah merujuk kepada perjanjian ini bagi mendapatkan penyelesaian.

 

Selain itu, projek yang dijalankan tanpa perjanjian ini berisiko terjadinya kos melebihi bajet asal. Ini kerana tiada garis panduan yang mengikat kontraktor sehingga kontraktor boleh membuat perubahan dan penambahan kos dengan mudah dan sewenangnya. Kesan lain pemilik tanah juga akan sukar untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank maupun institusi kewangan memandangkan perjanjian pembinaan berserta dokumen-dokumen sokongan lain diperlukan bagi permohonan pembiayaan daripada bank. Pihak pembiaya sememangnya menetapkan sebarang transaksi perlulah dibuat dengan sah dan mematuhi undang-undang, Jadi, bagi memastikan projek pembinaan akan dibiayai oleh bank selamat, terjamin dan melindungi kepentingan bank, perjanjian pembinaan ini sangat penting dan diperlukan oleh bank. 

 

Kesimpulannya, pemilik tanah dan kontraktor dinasihatkan agar mengambil maklum dan memahami butiran-butiran dan klausa-klausa di dalam perjanjian pembinaan serta memastikan perjanjian tersebut adalah sah dan mengikat kedua-dua pihak dari segi undang-undang sebelum menandatanganinya bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari. Ia bukan sahaja melindungi pemilik tanah dari risiko kehilangan kewangan, tetapi juga menjamin bahawa rumah yang dibina adalah sesuai dengan kehendak dan spesifikasi yang dipersetujui.