MACAM MANA NAK TUNTUT HUTANG TIDAK MELEBIHI RM5,000.00?

Pasti ada antara kita yang memberi pinjaman wang kepada sahabat, saudara-mara mahupun rakan sekerja yang nilainya tidak melebihi RM5,000.00. Dan apabila diminta, pelbagai alasan diberikan oleh penghutang. Jadi, adakah apa-apa tindakan yang boleh dikenakan terhadap individu seperti ini?

Pastinya ada! Anda boleh membuat tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil. Mahkamah Tuntutan Kecil adalah mana-mana Mahkamah Majistret yang berhampiran dengan anda. Anda boleh merujuk kepada Aturan 93 Kaedah 2 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 (KKM2012) yang menyatakan seperti berikut:

  1. Aturan ini hendaklah terpakai kepada tuntutan yang amaun dalam pertikaian atau nilai hal perkara tuntutan tidak melebihi lima ribu ringgit.

Namun begitu, ada beberapa syarat yang anda perlu patuhi sebelum membuat tuntutan tersebut. Antaranya adalah;

  1. Tuntutan hendaklah tidak melebihi RM5,000.00
  2. Kedua-dua pihak tidak boleh diwakili oleh peguam
  3. Tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warganegara Malaysia
  4. Tuntutan boleh dibuat oleh mana-mana individu. Tetapi, syarikat tidak dibenarkan untuk membuat tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil.

Cara-cara untuk membuat tuntutan boleh dirujuk dalam Aturan 93 Kaedah 3 KKM 2012. Namun secara ringkasnya adalah seperti yang dijelaskan di bawah;

  1. Tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang 198 (Borang boleh didapatkan di mana-mana Mahkamah Majistret)

Di dalam Borang tersebut, anda hendaklah mengisi semua butir-butir penting anda, orang yang mahu dituntut, fakta yang membuktikan tuntutan anda, jumlah yang mahu dituntut, dll.

Anda mestilah memberikan 4 salinan kepada Pendaftar Mahkamah berserta bayaran yang ditetapkan.

  1. Setelah Pendaftar menandatangani dan menurunkan cop di Borang 198, anda akan diberi satu salinan dan satu salinan lagi haruslah diberikan kepada orang yang dituntut (Defendan).

Dalam masa yang sama, Pendaftar akan memberi tarikh untuk pendengaran kes.

  1. Seterusnya, mengikut Aturan 93 Kaedah 5 (2) KKM 2012, satu salinan Borang 198 tersebut hendaklah disampaikan kepada Defendan melalui penyampaian kendiri atau melalui pos berdaftar ke alamat terakhir Defendan. 
  2. Defendan yang menerima Borang 198 dan ingin memasukkan pembelaan boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang 199 dalam masa 14 hari. Pembelaan tersebut hendaklah difailkan ke Mahkamah sebelum tempoh 14 hari itu tamat.
  3. Sekiranya Defendan mempunyai pembelaan, penyampaian kepada Plaintif haruslah dilakukan.
  4. Setelah semua pemfailan selesai, pihak-pihak hendaklah bersedia untuk hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan. 

 

Penghakiman dah dapat, tapi orang yang berhutang tu buat tak tahu je. Apa saya boleh buat?

Jangan risau! Teruslah ke Mahkamah Majistret itu semula dan minta untuk failkan kes anda menggunakan Borang 208 (boleh didapati secara percuma). Anda hanya perlu mengikut langkah yang sama di mana Borang 208 ini juga perlu disampaikan kepada Defendan untuk memastikan kehadiran mereka pada tarikh yang ditetapkan.

Di Mahkamah pula nanti, Majistret mempunyai sekurang-kurangnya tiga cara untuk berurusan dengan Defendan. Antaranya adalah seperti berikut;

  1. Defendan diberikan masa tambahan untuk menjelaskan jumlah penghakiman atau Mahkamah membenarkan bayaran dibuat secara ansurans;
  2. memerintahkan pengeluaran writ penyitaan dan jualan. Bailiff Mahkamah akan menilai harga barangan defendan, menyita dan kemudiannya proses lelong. Hasil daripada lelongan yang dilakukan akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak; dan
  3. Perintah untuk dipenjarakan. Waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mana- mana Defendan yang gagal untuk hadir ke Mahkamah.

Maka, itulah serba sedikit perkongsian tentang apa yang anda boleh lakukan bagi menuntut hutang tidak melebihi RM5,000.00. Selain tuntutan hutang, tuntutan bagi bayaran sewa tertunggak, perkhidmatan yang tidak dibayar dan lain-lain yang jumlahnya tidak melebihi RM5,000 juga boleh dibuat di Mahkamah Tuntutan Kecil. Jadi, tuntutlah hak anda!