Deposit sewa rumah adalah kombinasi bagi bayaran yang harus dibayarkan dalam bentuk wang yang dibayarkan (sewa) dan sebahagian lagi adalah ‘hutang’. Namun bagi memahami konsep deposit sewa rumah yang sebenar, terma yang paling tepat digunakan adalah CAGARAN, iaitu sesuatu yang dijadikan jaminan. Contohnya jika terdapat kerosakan atau tunggakan daripada pihak penyewa, maka wang cagaran ini akan digunakan oleh tuan rumah. Namun sekiranya tiada kerosakan ataupun tunggakan oleh penyewa, wang cagaran ini haruslah dipulangkan kembali kepada mereka.
Kebiasaannya tuan rumah akan meminta wang cagaran sebanyak 1 atau 2 atau 3 bulan sewa, bergantung kepada:
i. Kondisi rumah (not furnished/partially furnished/fully furnished);
ii. Kebolehpercayaan tuan rumah terhadap penyewa; dan
iii. Atas budi bicara tuan rumah (upon discretion).
Contohnya jika sewa bulanan ialah RM900-00, makanya:
1) 1 + 1 : RM900 (cagaran) + RM900 (sewa bulan pertama) = RM1,800-00
2) 2 + 1 : RM1,800 (cagaran) + RM900 (sewa bulan pertama) = RM2,700-00
3) 2 + 1 + 1 ; RM1,800 (cagaran sewa) + RM900 (cagaran utiliti) + RM900 (sewa bulan pertama) = RM3,600-00
Berikut adalah beberapa situasi yang patut saya kongsikan bagi menjelaskan salah faham mengenai deposit sewa rumah:
SALAH FAHAM PERTAMA: Penyewa menganggap deposit adalah “Advance “ sewa untuk bulan-bulan terakhir.
Pada pandangan saya, kedua-dua pihak haruslah memahami pada peringkat awal lagi bahawa wang cagaran ini bukanlah “advance payment” untuk sewa. Pihak tuan rumah haruslah menerangkan sebaik mungkin perkara tersebut supaya pihak penyewa tidak ‘memaksa’ tuan rumah menggunakan deposit sebagai bayaran sewa untuk 1 ke 2 bulan terakhir nanti.
SALAH FAHAM KEDUA; Penyewa menganggap tuan rumah tidak patut mengenakan deposit.
Sebagai penyewa, seharusnya kita menyedari jika rumah tersebut disewakan tanpa deposit, tuan rumah pastinya berdepan dengan beberapa risiko. Contohnya;
a) Penyewa bertangguh-tangguh atau terdapat tunggakan sewa bulanan, sedangkan tuan rumah wajib membayar ansuran bank tepat pada waktunya setiap bulan. Kelewatan membayar ansuran bulanan bank menyebabkan tuan rumah berdepan dengan rekod CCRIS yang tidak ‘cantik’. Lebih teruk lagi apabila penyewa tiba-tiba lesap dan menghilangkan diri.
b) Penyewa keluar awal dari tarikh tamat kontrak dan menyesabkan tuan rumah mengalami kerugian 1 ke 2 bulan kerana rumah tersebut kosong dan dalam masa yang sama, ansuran bank dan bayaran-bayaran lain seperti bil utiliti “still on”.
c) Kerosakan rumah contohnya paip patah, pintu pecah, tombol rosak, contengan pada dinding, dinding berlubang dan tidak bertampal, jubin pecah serta lain-lain yang tidak disebutkan yang mana disebabkan dan sepatutnya ditanggung oleh penyewa.
d) Barang-barang perabot rosak teruk dan tidak seperti dalam keadaan asal. Hal ini adalah selain “wear and tear”, kecuali jika perabot tersebut sememangnya uzur dari awal lagi.
e) Bil-bil tertunggak yang tidak dilangsaikan oleh penyewa dan kebiasaannya hanya disedari apabila penyewa telahpun keluar rumah.
f) Rumah ditinggalkan tanpa dibersihkan terlebih dahulu, yang mana penyewa sepatutnya memulangkan rumah sewa dalam keadaan sama seperti penyewa menerima kunci dari tuan rumah.
SALAH FAHAM 3: Deposit sewa rumah adalah hak tuan rumah.
Ada juga segelintir tuan rumah yang menjadikan wang cagaran ini seperti duit mereka. Wang cagaran dijolikan sehingga menyebabkan mereka tidak mampu memulangkan semula kepada penyewa selepas tamat kontrak, dan sekiranya rumah yang diserahkan adalah dalam keadaan elok dan tiada tunggakan.
Justeru itu, melalui situasi-situasi yang diberikan (termasuk dan tidak terhad kepada situasi di atas sahaja), saya percaya pastinya tuan rumah mempunyai sebab yang munasabah mengapa sejumlah deposit adalah sangat penting bagi sewaan rumah.