MENGAPA PERLU LANTIK PEGUAM UNTUK URUSAN BELI HARTANAH
Lantikan peguam hartanah bagi urusan jual beli hartanah adalah penting kerana peguam bertindak sebagai pemudah cara yang akan memberi khidmat nasihat guaman berkenaan hartanah yang terlibat secara professional menurut undang-undang yang telah ditetapkan.
Peguam hartanah juga akan bertindak memastikan kelancaran urusan jual beli dari awal proses sehingga selesai dengan mengikut amalan guaman yang teratur serta sah di sisi undang-undang dengan memastikan urusan yang terlibat bebas daripada risiko yang tidak diingini berlaku.
Selain itu, peguam hartanah juga berperanan dalam melindungi kepentingan dan hak-hak pihak yang terlibat seperti penjual dan pembeli menurut terma-terma yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Jual Beli yang telah ditandatangani. Peguam hartanah akan membantu memberikan panduan yang jelas kepada pembeli dan penjual mengenai prosedur yang terlibat mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
Kelancaran proses jual beli juga bergantung kepada penyediaan dokumen yang lengkap dan sah oleh peguam hartanah. Dengan professionalisma dan pengetahuan khusus peguam hartanah dalam ilmu guaman hartanah boleh memastikan tiada kepincangan yang berlaku sepanjang urusan berlangsung dan semua langkah diambil dengan tepat.
Fungsi peguam hartanah juga melibatkan semakan mengenai sejarah hakmilik hartanah bagi memastikan tiada sebarang halangan yang menyebabkan urusan jual beli tidak boleh dilaksanakan. Ini secara langsung boleh membantu para pembeli mengurangkan risiko penipuan dalam transaksi jual beli yang sudah semestinya melibatkan jumlah wang yang besar.
Antara tugas utama peguam hartanah dalam setiap urusan jual beli hartanah adalah menyemak sejarah dan status terkini hartanah yang terlibat bagi memastikan penjual adalah tuan punya berdaftar hartanah, memastikan status hartanah sekiranya terdapat sebarang sekatan seperti kebenaran pindahmilik dan gadaian, atau terdapatnya kaveat didaftarkan keatas hartanah dan lain-lain. Semakan ini bertujuan untuk memastikan para pembeli mengetahui serta lebih mengenali status hartanah yang ingin dibeli serta melindungi pembeli daripada sebarang risiko penipuan.
Selain itu, peguam hartanah juga bertindak sebagai perangka terma-terma perjanjian jual beli yang adil dan memastikan kepentingan pihak pembeli serta penjual terjaga. Peguam hartanah akan meneliti setiap satu terma dan syarat di dalam Perjanjian Jual Beli dan menasihati pihak-pihak mengenai hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan menurut perjanjian tersebut jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti penarikan diri oleh mana-mana pihak yang terlibat.
Tambahan pula, peguam hartanah juga bertindak melaksanakan proses pemindahan hakmilik dari penjual kepada pembeli di dalam geran dengan melakukan pendaftaran di pejabat tanah yang terlibat. Peguam hartanah akan memastikan semua dokumen dan prosedur yang terlibat dengan transaksi dilaksanakan dengan sempurna seperti dokumen yang melibatkan pelepasan gadaian dengan bank penjual, permohonan kebenaran pindahmilik dan gadaian hartanah, pendaftaran kaveat ke atas hartanah bagi menjaga kepentingan pembeli serta bank pembeli, serta pendaftaran gadaian kepada bank pembeli sekiranya pembeli mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.
Seterusnya, peguam hartanah juga memastikan segala urusan percukaian yang terlibat dalam urusan jual beli telah dipatuhi. Para pembeli dan penjual perlu ambil maklum bahawa transaksi jual beli hartanah bukan hanya sekadar melibatkan pembayaran harga jual beli dan penukaran nama di dalam geran, malah urusan jual beli hartanah juga melibatkan pihak seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengenai pembayaran duti setem serta cukai keuntungan harta tanah (CKHT). Dengan nasihat guaman yang professional, peguam akan menasihati pihak-pihak mengenai pembayaran-pembayaran yang terlibat bagi mengelakkan sebarang permasalahan di masa depan dengan pihak berkuasa.
Transaksi jual beli sudah semestinya melibatkan pelbagai pihak seperti pembeli, penjual, bank penjual, bank pembeli, pejabat tanah, lembaga hasil dalam negeri, majlis daerah, pihak berkuasa negeri dan sebagainya. Dengan lantikan peguam hartanah, pembeli dan penjual tidak perlu berurusan dengan pihak-pihak tersebut kerana peguam hartanah yang akan bertindak dan berurusan bagi pihak pembeli dan penjual. Dengan itu, urusan jual beli akan lebih mudah dengan bantuan yang telah disediakan oleh peguam hartanah ini.
Antara tugas terakhir peguam hartanah dalam urusan jual beli adalah memastikan penyerahan kunci dilaksanakan kepada pembeli dalam keadaan yang lancar. Peguam hartanah akan memastikan semua bayaran utiliti melibatkan hartanah telah ditimbang tara antara kedua-dua pihak dan memastikan tiada tanggungan lain ke atas hartanah.
Konklusinya, lantikan peguam hartanah adalah penting dalam urusan jual beli hartanah kerana professionalisma dan ilmu mengenai undang-undang hartanah yang dimiliki oleh peguam hartanah sudah semestinya akan membantu kelancaran proses pembelian dan penjualan hartanah oleh penjual dan pembeli.