Bermacam-macam term Islamic yang mungkin anda pernah dengar daripada pihak bank mahupun pihak peguam, namun sedikit pun anda tidak mempunyai idea apakah maksud sebenar term-term berkenaan. Antara yang mungkin anda pernah dengar adalah Musyarakah Mutanaqisah, Mudharabah, Ijarah dan lain-lain.
Oleh itu, bagi mendapatkan gambaran sebenar apakah itu sistem perbankan berlandaskan Islam, topik saya pada kali ini akan menyentuh tentang Musyarakah Mutanaqisah.
1) Musyarakah merupakan salah satu bentuk produk yang tersenarai dalam pelbagai institusi perbankan Islam. Secara umumnya, musyarakah adalah perjanjian yang dimeterai antara 2 pihak atau lebih sebagai rakan kongsi untuk berkongsi modal dan keuntungan dalam sesuatu perusahaan atau transaksi. Dan sekiranya perusahaan itu mengalami kerugian, maka kerugian tersebut haruslah dibahagikan berdasarkan modal yang diketengahkan masing-masing.
Contohnya, dalam perbankan Islam, bank bertindak sebagai rakan kongsi kepada pelanggannya dengan menyediakan pembiayaan atas konsep Musyarakah tanpa mengenakan kadar faedah. Tidak disyaratkan bank perlu membiayai perusahaan sepenuhnya atau sebahagian saja. Ini bermakna, sekiranya perusahaan tersebut mengalami keuntungan, bank berhak menerima bahagian daripada keuntungan perusahaan mengikut kadar yang dipersetujui semasa kontrak dimeterai.
2) Musyarakah Mutanaqisah (Diminishing Partnership) juga lebih dikenali sebagai Musyarakah Muntahiah Bittamlik (perkongsian yang diakhiri dengan pemilikan). Melalui konsep ini, bank dan pelanggannya berkongsi modal untuk mendapatkan sesuatu aset. Maka, pada peringkat awal pemilikan aset adalah ke atas kedua-dua pihak. Aset tersebut akan menjadi milik penuh pelanggan apabila dia telah membayar kembali kesemua pembiayaan yang telah diberikan oleh pihak bank dalam suatu tempoh yang ditetapkan secara berkala.
Contohnya, A telah memohon pembiayaan atas kontrak Musyarakah Mutanaqisah untuk membeli sebuah rumah teres dua tingkat. Setelah mengenalpasti rumah yang hendak dibelinya, A telah membayar sejumlah wang sebagai 10% deposit. Baki sebanyak 90% adalah dibiayai oleh pihak bank. Maka, dalam situasi ini A berkongsi milik dengan pihak bank ke atas rumah teres dua tingkat tersebut sebanyak 1 : 9.
Di dalam perjanjian yang telah dimeterai oleh A dan pihak bank, A telah bersetuju membayar kembali kepada pihak bank sebanyak 1% setiap bulan secara berkala untuk mendapatkan pemilikan penuh (di mana, kadar adalah bergantung kepada kontrak yang dipersetujui). Maka dalam tempoh yang ditetapkan, pemilikan bank ke atas rumah tersebut akan berkurangan manakala pemilikan A akan bertambah. Di akhir kontrak, pemilikan rumah tersebut akan berpindah sepenuhnya ke atas A, menjadikan nisbah pemilikan 10 : 0.
Dah dapat gambaran sebenar mengenai Musyarakah Mutanaqisah? Sekiranya anda masih perlukan penjelasan lebih lanjut, bolehlah tinggalkan komentasi di bawah ini atau DM kami untuk fast-responce.
Akhir sekali, diharapkan semoga perkongsian saya pada kali ini dapat menambahkan kefahaman anda semua berkenaan Perbankan Islam (Musyarakah Mutanaqisah). Saya mendoakan segala urusan anda semua dipermudahkan Allah S.W.T. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan segala yang buruk itu juga datangnya daripada Allah, namun ke atas diri saya sendiri sebagai hambanya yang lemah.