(Perfection Of Transfer)
Salam Sejahtera & Selamat Pagi.. Berdasarkan tajuk di atas, keadaaan ini biasanya berlaku ke atas hartanah-hartanah yang masih belum dikeluarkan hakmilik (atau geran bagi unit rumah itu sendiri) seperti pangsapuri dan kondominium.
Semasa pembelian hartanah tersebut, pemaju masih belum mengeluarkan hakmilik strata/ hakmilik individu bagi hartanah tersebut. Hartanah tersebut masih lagi dibawah hakmilik induk. Hakmilik induk bermaksud satu jenis hakmilik yang merangkumi semua unit dalam satu-satu jenis projek perumahan yang didirikikan oleh pemaju. Semasa pembeli membuat pembelian ke atas hartanah yang belum dikeluarkan hakmilik individu/hakmilik strata. Terdapat satu klausa yang ditulis didalam perjanjian jual beli yang ditandatangani oleh pembeli bahawa sekiranya selepas pembelian hartanah itu, hakmilik strata/ hakmilik individu telah dikeluarkan bagi unit rumah yang dibeli maka adalah menjadi tanggungjawab bagi pembeli untuk membuat penyempurnaan pindahmilik.
Adalah dimaklumkan bahawa apabila pemaju membuat permohonan kepada pejabat tanah untuk mengeluarkan hakmilik individu/hakmilik strata maka selepas selesai permohonan berikut, hakmilik-hakmilik tersebut akan didaftarkan ke atas nama pihak pemaju. Justeru itu, sebagai pemilik benifisiari hartanah tersebut adalah menjadi tanggung jawab anda untuk membuat penyempurnaan pindahmilik dimana anda harus mendaftarkan nama anda ke atas hakmilik yang telah dikeluarkan dan menjadi pemilik berdaftar bagi hartanah yang telah dibeli. Proses pengeluaran hakmilik strata/hakmilik individu adalah bergantung kepada pemaju masing-masing. Tidak ada satu jangka masa yang tetap bagi pemaju dalam mengeluarkan hakmilik-hakmilik tersebut kerana ianya bergantung kepada pemaju dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pejabat tanah bagi membolehkan proses pengeluaran hakmilik individu/hakmilik strata dilakukan.
Sekiranya hakmilik individu/hakmilik strata telah dikeluarkan anda sebagai pemilik benefisiari akan dimaklumkan melalui surat oleh pihak pemaju malahan peguam yang menyediakan perjanjian jual beli anda juga akan turut dimaklumkan. Terdapat kos tambahan yang perlu dibayar oleh pembeli bagi peguam untuk melaksanakan proses penyempurnaan pindahmilik. Anda boleh memilih sama ada anda ingin melantik peguam yang sama mengendalikan proses jual beli anda untuk melakukan proses penyempurnaan pindahmilik ataupun anda juga boleh melantik peguam yang lain sekiranya tiada bantahan daripada pihak pemaju.