Pada minggu lepas Peguam Syarie RAHCO, Ms Dinie telah mengupas berkenaan bagaimana perlantikan Pentadbir dilakukan sama ada di Pejabat Pusaka atau Mahkamah Tinggi serta memberitahu berkenaan dengan peranan Pentadbir dalam pengurusan harta simati. Tajuk kali ini merupakan kesinambungan bagi tajuk tersebut. Namun demikian, pada kali ini, saya ingin berkongsi berkaitan dengan Perintah Jualan oleh Pentadbir.

Apabila Ejen Hartanah membawa kes jualan hartanah kepada kami untuk penyediaan Perjanjian Jual Beli yang melibatkan pemillik sudah meninggal dunia. Perkara pertama kami akan bertanya adakah terdapat Surat Kuasa Mentadbir sama ada dikeluarkan oleh Pejabat Pusaka atau Mahkamah Tinggi bagi menandatangani Perjanjian Jual Beli dan adakah semua waris yang berkaitan telah memberikan persetujuan untuk Jualan Hartanah tersebut.
Perkara kedua kami akan membuat carian terhadap status kebankrapan Pentadbir di laman web Jabatan Insolvensi samada Pentadbir tersebut adalah tidak bankrap.

Sekiranya waris mendapat Perintah Borang T atau Borang E, ini bermakna harta pusaka simati boleh diturunmilik kepada nama waris- waris yang dinyatakan di dalam Jadual Perintah berkaitan. Untuk Perintah Borang T atau Borang E, waris boleh terus mendaftarkan Perintah tersebut dan setelah didaftarkan nama waris tersebut di atas geran. Kemudian, Perjanjian Jual Beli boleh dilaksanakan tanpa sebarang halangan. Bagii hartanah yang masih lagi dipegang di bawah Hakmilik Induk, pihak waris atau pentadbir perlu menyerahkan satu Salinan Perintah yang berkaitan kepada pihak pemaju untuk pertukaran milik.

Namun demikian, sekiranya waris mendapat Borang F, kami akan menyemak status Perintah F tersebut, kebarangkalian ada isu yang tidak selesai yang mana Pejabat Pusaka tidak boleh mengeluarkan Perintah Turun Milik terus kepada waris.

Antara perkara-perkara yang menghalang harta pusaka simati diturunmilik terus kepada waris adalah seperti berikut:
i) Permohonan hanyalah untuk melantik Pentadbir sahaja;
ii) Hartanah masih berhutang dengan bank/ mana-mana institusi kewangan;
iii) Terdapat waris di bawah umur;
iv) Terdapat waris yang merupakan terdiri daripada Orang Kurang Kemampuan (OKU);
v) Hartanah masih lagi di bawah Pegangan Hakmilik Induk.

Bagi perkara i) Pentadbir boleh memfailkan Borang P untuk ulang bicara bagi mendapatkan perintah turunmilik. Bagi perkara v) ada Pejabat Pusaka yang membenarkan turunmilik, namun demikian ada juga Pejabat pusaka yang hanya benarkan turunmilik tersebut boleh dilakukan setelah Hakmilik Strata dikeluarkan dan didaftarkan atas Pentadbir dahulu.

Namun demikian, berbeza dengan perkara ii) iii) iv) Pentadbir perlu memohon dan mendapatkan kebenaran dan perintah bertulis daripada Mahkamah Tinggi bagi melaksanakan terma- dan syarat yang dinyatakan di dalam Perjanjian Jual Beli.

Perbezaan antara Pejabat Pusaka dan Mahkamah Tinggi dalam kes yang dinyatakan ini adalah Pejabat Pusaka boleh membenarkan turunmilik kepada waris setelah Pentadbir telah menyelesaikan hutang dengan pihak bank terlebih dahulu, kemudian Pentadbir perlu memfailkan Borang P untuk ulang bicara. Manakala, Perintah Jualan Mahkamah Tinggi akan mengarahkan dan membenarkan Bank Pembeli menyelesaikan hutang / membuat bayaran terus kepada Bank Penjual mengikut terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan di dalam Perjanjian Jual Beli.

Bagi kes yang melibatkan waris di bawah umur, Pejabat Pusaka hanya membenarkan turunmilik kepada waris dewasa sekiranya Pentadbir menebus bahagian waris di bawah umur dengan memasukkan jumlah bahagian mengikut harga pusaka mengikut nilai pasaran Harta Pusaka kepada Amanah Raya Berhad. Selepas itu, barulah turunmilik boleh berlaku. Selepas bayaran tersebut dibuat di Amanah Raya, Pentadbir boleh memfailkan Borang P untuk ulang bicara untuk turunmilik kepada waris yang dewasa.
Namun demikian, berbeza dengan cara Perintah Jualan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Tinggi akan mengarahkan/ membenarkan segala terma-terma yang terkandung di dalam Perjanjian Jual Beli dan hasil jualan di akhir proses yang melibatkan bahagian jualan bagi waris boleh dimasukkan ke dalam akaun simpanan waris bawah umur tersebut atau diberikan kepada ibu/ bapa kandung bagi membesarkan anak-anak di bawah umur.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan hal ini, anda boleh berhubung terus dengan kami untuk sebarang persoalan atau keterangan lanjut kerana setiap kes jualan bagi harta pusaka adalah berbeza mengikut keadaan kes yang tersebut