Memiliki kediaman sendiri merupakan impian yang dimiliki oleh hampir semua orang terutama bagi pasangan yang baru mendirikan rumahtangga. Transaksi jualbeli rumah menggunakan pinjaman daripada institusi kewangan merupakan norma biasa bagi masyarakat masa kini. Namun begitu, tidak semua pinjaman perumahan diluluskan dengan mudah mengikut harga kediaman yang kita impikan. Oleh sebab itu, ramai yang melakukan pinjaman bersama bagi mendapatkan kediaman yang diimpikan. Maka, adalah penting untuk kita mengetahui apakah pinjaman “1 st Party” dan pinjaman “3 rd party”.

1 st Party Charge = Pinjaman bersama
Bahasa yang lebih ringkas untuk menyimpulkan erti 1st Party Charge adalah kedua-dua pembeli merupakan peminjam bagi hartanah tersebut. Sebagai contoh, Faris dan Aisyah merupakan pasangan suami isteri yang ingin membeli sebuah rumah melalui pinjaman bersama dengan pihak bank berjumlah RM300,000.00. Kedua-dua mereka menandatangi perjanjian jualbeli dan kedua-dua mereka adalah peminjam kepada pinjaman bank tersebut dan memiliki hak ½ bahagian setiap seorang bagi rumah tersebut. Kebiasaannya, pinjaman bersama 1 st Party ini dilakukan bagi mendapatkan kelayakan pinjaman yang lebih tinggi untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa untuk didiami bersama.

3 rd Party Charge
Bagi 3rd party charge pula, hanya salah seorang sahaja yang menjadi peminjam kepada pihak bank. Sebagai contoh, hanya Faris sahaja yang membuat pinjaman berjumlah RM200,000.00. Namun begitu, kedua-dua nama Faris dan Aisyah terdapat di dalam perjanjian jual beli rumah tersebut. Maka, dalam situasi ini, Faris dan Aisyah adalah pembeli rumah tersebut namun peminjam hanyalah Faris sahaja. Hakmilik akan didaftarkan kepada Faris dan Aisyah dengan ½ bahagian setiap seorang kerana perjanjian jual beli dimasuki oleh kedua-dua orang. Pinjaman 3rd Party juga boleh berlaku dalam situasi di mana pinjaman dilakukan oleh Faris dan Aisyah, namun hanya nama Aisyah sahaja yang menandatangani perjanjian jual beli dan hak milik hartanah tersebut adalah 100% didaftarkan kepada Aisyah. Perkara ini kebiasaannya berlaku apabila salah seorang berniat untuk membantu meluluskan jumlah pinjaman pasangannya. Dalam contoh ini, Faris melakukan pinjaman bersama Aisyah untuk membantu Aisyah mendapatkan rumah yang diimpikan. Meskipun pinjaman terebut adalah secara bersama, namun geran dan hakmilik hanyalah atas nama Aisyah kerana perjanjian jual beli hanya dimasuki oleh Aisyah sahaja. Berdasarkan penerangan di atas, usahlah kecewa sekiranya anda tidak layak mendapatkan pinjaman bank secara perseorangan, masih ada peluang untuk anda dapatkan rumah idaman anda melalui pinjaman bersama untuk didiami bersama insan tersayang mahupun dijadikan sebagai aset di masa hadapan.