TIPS BIDA RUMAH LELONG SECARA ONLINE DI SISTEM E-LELONG
Pembelian rumah lelong bagi tujuan pelaburan atau lain-lain sudah semestinya memerlukan cara bidaan yang betul dan tepat bagi mengelakkan sebarang permasalahan dikemudian hari yang kemungkinan boleh merugikan pembida.
Antara tips yang boleh digunapakai sebelum membuat sebarang bidaan adalah dengan menyemak had kelayakan pembiayaan terlebih dahulu jika pembida berniat untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan untuk pembelian rumah lelong. Ini adalah bagi memastikan pembida mempunyai sumber kewangan yang cukup setelah berjaya membida sesuatu rumah lelong bagi membiayai pembelian rumah lelong tersebut mengikut had kelayakan pinjaman dan harga rumah lelong yang ingin dimiliki.
Keduanya, pembida boleh memulakan pencarian unit rumah lelong di sistem E-Lelong dengan membuat tapisan unit rumah yang memenuhi citarasa pembida seperti negeri terletaknya rumah lelong tersebut, anggaran harga rizab dan lain-lain kriteria yang diinginkan sesuai dengan had kelayakan pinjaman yang telah disemak sebelum ini. Setelah membuat pilihan, pembida boleh memuat turun Perisytiharan Jualan secara terus dari listing di sistem tersebut dan membuat satu salinan Perisytiharan Jualan tersebut untuk rujukan. Setelah selesai, pembida boleh membuat lawatan tapak ke alamat yang dinyatakan di dalam Perisytiharan Jualan untuk memastikan keadaan rumah yang sebenar sebelum membuat bidaan. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memastikan pembida membida rumah yang betul dan tepat serta mengelakkan kerugian yang tidak diingini seperti keadaan rumah yang sangat teruk dan memerlukan kos membaikpulih yang besar.
Ketiganya, pembida dinasihati untuk membuat carian hartanah bagi rumah lelong tersebut di pejabat tanah bagi mengetahui status terkini rumah lelong tersebut seperti di dalam rekod pejabat tanah di mana pembida boleh mengetahui sekiranya rumah lelong tersebut terdapat sebarang tanggungan, bebanan atau sekatan. Dengan mengetahui status terkini hartanah tersebut, pembida boleh menilai dan menganggar prosedur-prosedur yang akan terlibat dalam urusan pembelian rumah lelong ini.
Tips yang keempat pula ialah pembida hendaklah mengambil maklum akan tarikh dan masa sesi lelongan seperti yang telah dinyatakan di dalam Perisytiharan Jualan. Ini adalah untuk mengelakkan pembida terlepas peluang bidaan setelah membuat keputusan untuk membeli rumah lelong yang telah dipilih. Pada tarikh dan sesi lelongan berlangsung, adalah dinasihati kepada pembida supaya log masuk ke dalam Sistem E-Lelong 30 minit lebih awal sebelum sesi lelongan berlangsung.
Seterusnya, pembida juga hendaklah memastikan dan mendapatkan maklumat yang betul berkenaan kenaikan kadar bidaan. Ini adalah kerana kenaikan kadar bidaan adalah berlainan bagi setiap rumah lelong bergantung kepada nilai rizab rumah tersebut. Pembida boleh mendapatkan maklumat mengenai kenaikan kadar bidaan yang tepat dengan menghubungi Pusat Operasi e-Lelong di talian 09-570 7063.
Tips yang keenam adalah berkenaan dengan penyediaan sepuluh (10%) persen deposit secara bank draf di mana deposit secara bank draf ke atas nama plaintif yang dinyatakan di dalam Perisytiharan Jualan sebanyak 10% daripada nilai rizab rumah lelong hendaklah diselesaikan selewat-lewatnya satu (1) hari sebelum sesi lelongan bermula. Antara maklumat yang perlu dinyatakan di halaman belakang helaian bank draf tersebut ialah nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat terkini, nombor ID Hartanah dan nombor Kes Pelaksanaan. Setelah maklumat lengkap diisikan oleh pembida, bank draf tersebut boleh diserahkan terus secara serahan tangan kepada mana-mana Mahkamah Tinggi Malaya di Semenanjung Malaysia atau melalui Pos Laju kepada Pusat Operasi E-Lelong Kuantan. Sekiranya penyerahan bank draf dilakukan secara Pos Laju, pembida hendaklah menyertakan bersama-sama sampul prabayar ke alamat pembida sendiri untuk pemulangan deposit sekiranya pembida tidak berjaya dalam sesi lelongan.
Selain itu, pembida juga perlu mengambil tahu tempoh masa sesi lelongan di mana setiap sesi lelongan akan berlangsung selama 60 minit. Pembida perlu ambil maklum bahawa sesi lelongan akan ditamatkan jika tiada bidaan dibuat di dalam sesi lelongan selama 30 minit, dan ketika sesi bidaan berlangsung, pembida terakhir akan diisytiharkan sebagai pemenang sekiranya tiada bidaan dari pembida lain dalam masa 2 minit 30 saat selepas bidaannya dibuat.
Seterusnya amat penting bagi pembida untuk membida mengikut kemampuan dan kelayakan kewangan pembida sendiri. Hal ini bagi mengelakkan masalah kewangan untuk menampung pembelian rumah lelong dan mengelakkan pembida daripada perlu membayar lebihan wang beza sekiranya had kelayakan pembiayaan dari institusi kewangan tidak mampu menampung nilai bidaan tersebut.
Akhir sekali, sekiranya pembida menang bidaan bagi unit tersebut, suatu Memorandum Jualan yang mempunyai maklumat diri pembida sebagai pembida yang berjaya akan diberikan dan ditandatangani oleh Pendaftar Pusat Operasi E-Lelong. Pembida hendaklah membawa Memorandum Jualan tersebut bersama dokumen peribadi pembida ke institusi kewangan pilihan pembida sewaktu membuat semakan kelayakan pinjaman yang terdahulu untuk membuat permohonan pembiayaan secepat mungkin dan juga melantik peguam yang berpengalaman dalam urusan pindah milik rumah lelong untuk mewakili pembida kerana pembida hanya mempunyai tempoh 120 hari sahaja untuk menyelesaikan baki wang beza sepenuhnya bagi rumah lelong tersebut. Sekiranya pembida gagal membuat pembayaran tersebut, wang deposit pembida tidak akan dipulangkan.
Konklusinya, adalah dinasihati buat para pembida untuk membida secara bijak dan tepat bagi mengelakkan sebarang kerugian atau permasalahan yang tidak diingini berlaku di masa akan datang.